am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelajar lelaki yang terjatuh perigi sedalam 5.5 meter di perkarangan sekolahnya di Tumpat, Kelantan, pagi tadi, kini dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.
Menurut Jabatan Pendidikan Kelantan, punca kemalangan sedang disiasat dan tumpuan pihaknya kini adalah untuk memastikan rawatan terbaik kepada pelajar berkenaan serta sokongan diberikan buat keluarga.
“JPN Kelantan prihatin terhadap kejadian pelajar terjatuh ke dalam telaga di sebuah sekolah, di sini, hari ini.
“Murid berkenaan kini sedang dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil,” katanya melalui kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah agama di Wakaf Bharu, di Tumpat, cedera di kepala selepas terjatuh perigi sedalam 5.5 meter di perkarangan sekolah berkenaan, pagi tadi.
Kejadian jam 8.30 pagi apabila pelajar 17 tahun itu duduk atas perigi yang bertudung dengan kepingan konkrit nipis sebelum terjatuh.
Pada masa sama, menurut JPN Kelantan, pihaknya mengingatkan semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya supaya meningkatkan pematuhan aspek keselamatan supaya kejadian seumpama ini tidak berulang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




