BEIJING, April 27, 2026 (GLOBE NEWSWIRE) — Dalam menghadapi cabaran mencapai pertumbuhan ekonomi mampan, China memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat sambil memelihara alam sekitar.

Episod terbaharu Seni Tadbir Urus menampilkan Liu Xin dari CGTN bersama Andy Boreham dari Shanghai Daily, yang bersama-sama mengunjungi loji solar terbesar dunia di Wilayah Qinghai, China. Projek ini bukan sahaja menjana pendapatan kepada komuniti tempatan, malah menyokong pembangunan mampan di kawasan tersebut.

Terletak di dataran berangin Talatan Gobi, barisan panel solar terbentang luas sejauh pandangan. Namun, di celah-celah tiang logam dan panel fotovoltaik itu, ribuan kambing bebas meragut rumput segar.

Seperti kebanyakan idea besar, gagasan ini lahir daripada keperluan. Padang rumput subur yang semakin menyusut akibat penggurunan telah menjejaskan mata pencarian penternak tempatan. Keadaan ini memaksa mereka berulang kali menambah bekalan makanan ternakan bagi menjamin kelangsungan mata pencarian. Menurut Cao Jun, jurutera di Cawangan Hainan Huanghe Corporation, penternak tempatan diberi akses percuma ke kawasan loji. Di situ, kambing mereka bebas meragut rumput segar yang tumbuh di bawah tiang solar.

Loji solar berskala besar ini mempunyai kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 8,430 megawatt. Air limpahan daripada proses pembersihan panel solar menyuburkan tanah dan merangsang pertumbuhan rumput, sekali gus membolehkan ternakan meragut secara semula jadi. Projek ini bukan sahaja memastikan aliran pendapatan stabil kepada penternak, malah menjamin bekalan makanan ternakan, sambil menyumbang tenaga bersih kepada grid tenaga negara.

Menurut Dimitri De Boer, Ketua Wakil ClientEarth di China, sistem ini dianggap ‘ideal’ kerana menyokong kelangsungan ekonomi komuniti setempat serta meningkatkan kualiti tanah. “Tiada kompromi. Semua pihak mendapat manfaat,” katanya.

Walaupun loji solar di Qinghai berskala besar, ia hanya satu daripada pelbagai pendekatan inovatif yang dimanfaatkan China. Teknologi bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah menyokong pemeliharaan alam sekitar secara mampan.

“Di China, pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi jelas berpadu rapat dengan kelestarian,” tambah De Boer. “Adalah sesuatu yang amat mengagumkan apabila inovasi teknologi, pertumbuhan ekonomi dan kelestarian mampu bergerak seiring serta saling melengkapi.”

Dalam usaha menuju pemodenan, China menekankan pembangunan hijau sebagai salah satu teras penting. Selaras dengan Rancangan Lima Tahun ke-15, China bertekad mempercepat pencapaian sasaran puncak karbon dan neutraliti karbon. Usaha ini dilaksanakan melalui penyelarasan langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon, mengekang pencemaran, memperluas kapasiti hijau, serta merangsang pertumbuhan ekonomi.

Pembangunan hijau di China bukan sahaja memperluas kawasan hijau domestik, malah memberi manfaat kepada komuniti global. China membekalkan kira-kira 70% peralatan tenaga angin global dan 80% komponen fotovoltaik, sekali gus menurunkan kos penjanaan tenaga angin dan solar masing-masing melebihi 60% dan 80% di peringkat global.

Sepanjang tempoh Rancangan Lima Tahun ke-15, China akan terus memacu pembangunan hijau serta bekerjasama dengan semua negara untuk menangani cabaran iklim global dan memelihara kelestarian bumi, ke arah dunia yang lebih bersih dan mampan untuk generasi akan datang.

CGTN: Seni Tadbir Urus: Tentang cara China sedang membentuk laluan baharu pembangunan mampan

Foto yang berkaitan dengan pengumuman ini boleh didapati di https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/8ecc2381-a090-4523-9cfd-6ea31fa01f65