asyikin.mat@hmetro.com.my
Kumpulan Kompang Skuad Elite Sejiwa Taman Sri Lambak, Kluang, Johor memecah tradisi seni tradisional Melayu kerana semua ahlinya adalah wanita.
Lebih mengagumkan, lebih separuh ahli kumpulan itu terdiri daripada warga emas berusia 60 hingga 74 tahun.
Walaupun pada usia emas, mereka memiliki kudrat luar biasa kerana sentiasa tampil bertenaga dan bersemangat memukul kompang serta jidor dalam setiap persembahan.
Kehadiran mereka turut mencetuskan fenomena baharu dalam permainan kompang.
Ketua kumpulannya, Norasidah Jais, 54, berkata, kumpulan itu ditubuhkan pada 2019 atas cadangan pegawai Jabatan Perpaduan Daerah Kluang.
Menurutnya, pada masa sama, mereka turut diminta mengadakan persembahan di Simpang Renggam, Kluang.
“Atas faktor ini, kumpulan Kompang Skuad Elite Sejiwa Taman Sri Lambak ditubuhkan. Pada peringkat awal, kami berlatih dengan seorang guru kompang berpengalaman.
“Pada masa itu, kami hanya belajar teknik pukulan kompang asas sahaja.
“Secara berperingkat, kami belajar teknik pukulan kompang yang lebih kompleks untuk memantapkan lagi irama dan persembahan,” katanya.
Menurut Norasidah, mereka menggunakan teknik ‘melinggam’ iaitu teknik memukul kompang dengan rentak yang beralun atau berlenggok.
“Teknik ‘manak’ pula adalah pola rentak utama dalam permainan kompang yang menjadi tulang belakang kepada keseluruhan persembahan.
“Manakala teknik ‘menyalu’ yang bermaksud memasukkan variasi atau selingan rentak di antara pukulan asas, memberi warna dan dinamika pada persembahan supaya lebih hidup serta bertenaga,” katanya.
Norasidah berkata, mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk menguasai teknik pukulan kompang.
Ini kerana, katanya, semua mereka ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat).
“Jadi, kami sudah lama didedahkan dengan permainan peralatan tradisional ini kerana suami masing-masing pegawai dan anggota tentera.
“Ada dalam kalangan kami mempelajari teknik sejak kecil daripada bapa mereka yang juga anggota serta pegawai tentera di sini (Kem Mahkota Kluang),” katanya.
Menurut Norasidah, selain membuat persembahan dalam majlis perkahwinan, kumpulan berkenaan turut memenuhi undangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan majlis kenamaan di sekitar Kluang.
“Pilihan lagu dalam setiap persembahan mengikut kesesuaian program, termasuk program keagamaan,” katanya.
Norasidah berkata, Kumpulan Kompang Skuad Elite Sejiwa turut menyertai beberapa pertandingan peringkat daerah Kluang dan meraih tempat kedua dan ketiga.
“Kami pernah sertai pertandingan peringkat Negeri Johor namun tewas kerana persaingan sengit.
“Pada masa sama, kami tidak terlepas daripada komen negatif warga maya di media sosial yang mengatakan ahli kumpulan tidak sesuai kerana faktor usia, namun kami tak ambil hati dengan kata-kata itu,” katanya.
Menurut Norasidah, pihaknya berharap, kewujudan kumpulan kompang itu dapat membuka mata generasi muda supaya terus memainkan peranan dalam usaha memelihara seni kompang.
“Kami turut berusaha mencari pelapis, syarat utamanya ialah perlu ada minat serta mahu mempelajari teknik pukulan kompang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




