am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah sudah mengambil laporan daripada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga sehingga menyebabkan keguguran dan kecederaan di badan untuk tindakan lanjut.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat dan Perpaduan Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, pihak JKM turut memberi sokongan kaunseling dan perlindungan kepada mangsa yang masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Beliau berkata, hasil laporan terbabit mendapati, pelaku didakwa melakukan keganasan rumah tangga terhadap mangsa dengan cara menumbuk, menendang, memukul dengan penyangkut baju, getah paip dan rod besi langsir sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
“Berdasarkan maklumat awal dari pihak hospital, didapati bahawa mangsa yang berusia 39 tahun itu mengalami patah tulang rusuk kanan dan rusuk kiri, patah tulang belakang selain mengalami keguguran serta bengkak dan luka di seluruh badan.
“Ketika kejadian Khamis lalu, hanya mangsa berada dalam rumah dengan si pelaku. Mangsa juga turut diancam bunuh,” katanya, hari ini.
Halimaton Shaadiah berkata, wanita terbabit mempunyai dua anak berusia lapan dan 11 tahun melalui perkahwinannya terdahulu sebelum berkahwin dengan pelaku pada Disember tahun lalu.
Beliau berkata, mangsa memaklumkan ingin mendapatkan bantuan dari pihak JKM untuk menghantarnya ke sebuah tempat selamat (lokasi dirahsiakan).
“Selain itu, mangsa juga memerlukan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) dan siasatan polis dilakukan mengikut Seksyen 323/18 Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT) 2017,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita cedera di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul suaminya sehingga menyebabkan mangsa turut mengalami keguguran ketika kandungan berusia 12 minggu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




