Pembangunan padat: Langkah pencegahan kunci utama kurangkan risiko pokok tumbang

Pembangunan padat: Langkah pencegahan kunci utama kurangkan risiko pokok tumbang

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Mencegah adalah kaedah terbaik bagi mengurangkan kejadian pokok tumbang khususnya di kawasan bandar yang semakin padat dengan pembangunan.

Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Mohd Johari Mohd Yusof berkata, masalah utama ialah pengurusan pokok bandar yang masih bersifat reaktif, iaitu tindakan hanya diambil selepas kejadian berlaku, bukannya secara pencegahan.

Katanya, pokok di bandar hidup dalam keadaan tertekan berbanding di hutan kerana tanah dipadatkan oleh konkrit dan jalan raya, sekali gus menyebabkan akar menjadi cetek serta tidak stabil.

“Selain itu, pembinaan longkang, pencemaran dan fenomena haba bandar turut melemahkan struktur pokok, manakala pemangkasan tidak sempurna menyebabkan cabang tidak seimbang dan mudah patah.

“Apa yang membimbangkan, banyak pokok kelihatan sihat di luar tetapi sebenarnya reput di bahagian dalam. Pokok gagal dari dalam, bukan dari luar,” katanya.

Menurutnya, Malaysia perlu beralih kepada pendekatan mengenal pasti risiko sebelum kejadian berlaku dengan melaksanakan audit berkala terhadap pokok matang berusia lebih 15 hingga 20 tahun.

Jelasnya, di negara maju, pokok bandar dianggap sebagai aset infrastruktur yang perlu diaudit secara teknikal seperti jambatan atau bangunan bagi memastikan tahap keselamatannya.

“Dalam hal ini, pemeriksaan arboris profesional perlu dilaksanakan secara berkala termasuk pemangkasan struktur, pengurangan beban kanopi, rawatan akar serta penggantian pokok berisiko tinggi.

“Tanpa pendekatan ini, tindakan menebang pokok selepas tragedi hanya bersifat sementara dan tidak menyelesaikan punca sebenar masalah,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pihak berkuasa tempatan melaksanakan sistem inventori digital bagi setiap pokok dengan pengenalan identiti (ID) dan status risiko untuk tujuan pemantauan lebih sistematik.

Katanya, konsep ‘Replace Not Just Remove’ perlu diamalkan, iaitu menggantikan pokok berisiko dengan spesies lebih sesuai, bukan sekadar menebangnya.

Beliau berkata, pendekatan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT) perlu diperluaskan kerana ia bersifat pencegahan dan mampu mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.

“Penggunaan teknologi seperti LiDAR melalui kenderaan pemantauan serta sistem Remote Tree Management System (RTMS) juga boleh membantu mengesan tanda awal kerosakan pokok tanpa perlu pemeriksaan fizikal yang kerap.

“Pemasangan sensor condong yang dipasang pada batang pokok mampu memberi amaran terus kepada pegawai pihak berkuasa sekiranya pokok mula menunjukkan tanda tidak stabil,” katanya,

Selain itu, beliau berkata, penggunaan Sonic Tomography mampu mengimbas bahagian dalam batang pokok bagi mengesan rongga atau pereputan yang tidak dapat dilihat mata kasar.

“Teknologi Resistograph Drill Test pula boleh mengukur ketumpatan kayu untuk mengenal pasti bahagian rapuh, manakala sensor condong dan akar berasaskan IoT mampu memberi amaran awal sebelum pokok tumbang.

“Model ramalan berasaskan AI yang mengambil kira faktor spesies, umur, tanah dan cuaca juga boleh membantu pihak berkuasa membuat keputusan lebih tepat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemilihan spesies pokok yang sesuai juga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan kawasan bandar.

“Pokok berakar tunjang lebih sesuai ditanam di bandar kerana lebih stabil dan kurang berisiko merosakkan infrastruktur seperti longkang dan jalan raya di mana di mana Jabatan Landskap Negara juga ada mengeluarkan garis panduan khusus bagi penanaman pokok teduhan di kawasan bandar.

“Antara spesies yang sesuai termasuk Tembusu (Cyrtophyllum fragrans), Merawan Siput Jantan (Hopea odorata), Cempaka Putih (Magnolia alba) dan Penaga Lilin (Mesua ferrea),” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top