Lagi empat rakyat Palestin maut, pemindahan perubatan melalui Rafah diteruskan

Lagi empat rakyat Palestin maut, pemindahan perubatan melalui Rafah diteruskan
Lagi empat rakyat Palestin maut, pemindahan perubatan melalui Rafah diteruskan

Empat rakyat Palestin, termasuk seorang wanita maut dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza. – Foto/ Reuters

GAZA – Empat rakyat Palestin termasuk seorang wanita maut dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Ahad manakala proses pemindahan perubatan bagi pesakit dan mangsa yang tercedera diteruskan melalui lintasan sempadan Rafah ke Mesir.

Saksi dan sumber tempatan memberitahu, sebuah dron Israel melepaskan peluru berpandu ke arah sekumpulan rakyat Palestin di kawasan kejiranan al-Zeitoun, selatan Bandaraya Gaza yang mengorbankan tiga orang.

Dalam insiden berasingan, seorang wanita berusia 40 tahun pula terkorban di Khan Younis di selatan Gaza, menurut jurucakap Pertahanan Awam di Gaza, Mahmoud Basal.

Saksi melaporkan bahawa kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah khemah-khemah yang menempatkan pelarian di kawasan terbabit.

Setakat ini, tiada kenyataan atau ulasan segera daripada pihak Israel.

Ketegangan terus memuncak di Gaza meskipun terdapat gencatan senjata rapuh dengan insiden keganasan dilaporkan di tengah-tengah pelaksanaan perjanjian yang terhenti selain pertikaian berterusan mengenai penghantaran bantuan kemanusiaan dan pengunduran tentera.

Pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza dalam kemas kini harian memaklumkan bahawa hospital menerima dua jenazah dan merawat 11 mangsa cedera dalam tempoh 24 jam lepas.

Ini menjadikan jumlah kematian sejak 10 Oktober lalu seramai 811 orang, manakala 2,278 lagi cedera.

Jumlah keseluruhan kematian sejak Oktober 2023 kini meningkat kepada 72,587 orang, dengan 172,381 mangsa mengalami kecederaan.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Palestin memaklumkan pasukannya sudah memindahkan 57 pesakit bersama 81 pengiring, menjadikan jumlah keseluruhan 138 orang untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza.

Proses pemindahan itu dijalankan dengan penyelarasan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut persatuan itu, kira-kira 700 pesakit sudah meninggalkan Gaza untuk rawatan di luar negara sejak pembukaan semula terhad lintasan Rafah pada 2 Februari, manakala lebih 18,000 lagi masih memerlukan pemindahan perubatan segera. – Agensi

Scroll to Top