am@hmetro.com.my
Kota Tinggi: Warga emas yang ditahan selepas disyaki menembak mati tiga individu di sebuah restoran dekat Taman Kota Jaya di sini, 19 April lalu, tiba di Mahkamah Majistret di sini, bagi menghadapi pertuduhan.
Suspek lelaki berusia 71 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 9.15 pagi diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi termasuk Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Tinggi yang juga pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Nor Azizi Indzam.
Pekebun warga tempatan itu dilihat tenang dengan tangan bergari dan memakai T-shirt berkolar serta seluar lokap polis berwarna ungu.
Jumaat lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suspek kes berkenaan bakal berdepan tiga pertuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Suspek yang sebelum ini ditahan pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian, direman tujuh hari berakhir semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia antara 37 hingga 63 tahun dilaporkan maut selepas ditembak menggunakan Shotgun buatan Benelli M/super dengan nombor siri M104817.
Hutang berjumlah RM50,000 dipercayai menjadi motif pembunuhan itu.
Suspek juga dilaporkan mempunyai lesen sah senjata api.
© New Straits Times Press (M) Bhd




