WASHINGTON – Pentadbiran Donald Trump dilaporkan berdepan krisis dalaman yang semakin serius apabila beberapa pegawai tertinggi tentera dan keselamatan disingkirkan atau meletak jawatan ketika konflik terhadap Iran menunjukkan tanda kegagalan strategik.
Dalam tempoh beberapa minggu, beberapa tokoh utama termasuk Setiausaha Tentera Laut, John Phelan; Ketua Staf Tentera Darat, Randy George; Komander Transformasi dan Latihan Tentera Darat, David Hodne serta Ketua Kor, Chaplain William Green Jr. disingkirkan tanpa penjelasan rasmi yang jelas.
Pada masa sama, Pengarah Pusat Kontraterorisme Kebangsaan, Joe Kent meletak jawatan sebagai tanda bantahan terhadap dasar perang tersebut.
Gelombang penyingkiran itu disifatkan antara yang paling luar biasa dalam sejarah moden Amerika Syarikat, khususnya kerana ia berlaku ketika negara itu masih terlibat dalam operasi ketenteraan aktif.
Pemerhati melihat tindakan tersebut sebagai usaha pentadbiran untuk mengekang perbezaan pandangan serta mengukuhkan kawalan politik ke atas institusi keselamatan.
Dari sudut strategik, perang terhadap Iran dilihat gagal mencapai objektif utama.
Walaupun Washington dan sekutunya meningkatkan tekanan melalui serangan ketenteraan, sekatan maritim dan tekanan diplomatik, Teheran tidak menunjukkan tanda tunduk dan menyerah.
Iran kekal enggan berunding di bawah tekanan serta menolak tuntutan konsesi sepihak berkaitan program nuklearnya.
Sebaliknya, konflik berkenaan mencetuskan kesan balas yang meluas.
Tindakan Iran di Teluk Parsi serta pengukuhan kawalan di laluan kritikal seperti Selat Hormuz telah mengganggu aliran perdagangan minyak global.
Gangguan itu meningkatkan kos insurans perkapalan, menjejaskan rantaian bekalan serta menyumbang kepada tekanan inflasi di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, sekatan laut yang dilaksanakan Amerika Syarikat gagal mengasingkan Iran sepenuhnya.
Data perkapalan menunjukkan kapal tangki berkait Iran masih berjaya mengelak sekatan melalui laluan alternatif, penggunaan bendera asing serta kelemahan penguatkuasaan di laut.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kredibiliti strategi Washington, malah memperlihatkan had sebenar kuasa paksaan Amerika di peringkat global.
Pemecatan pegawai kanan ketika perang berlangsung turut menimbulkan persoalan serius. Dari perspektif ketenteraan, kesinambungan kepimpinan amat penting dalam situasi konflik.
Justeru, tindakan menyingkirkan pegawai tertinggi tanpa alasan jelas dilihat berisiko mengganggu perancangan operasi dan moral pasukan.
Lebih membimbangkan, pendedahan oleh Joe Kent selepas peletakan jawatannya memberi dimensi baharu kepada krisis ini.
Beliau mendakwa Iran tidak pernah menjadi ancaman segera kepada Amerika Syarikat serta mendakwa wujud penindasan terhadap pandangan berbeza dalam kalangan pegawai keselamatan sebelum keputusan melancarkan perang dibuat.
Dakwaan tersebut menguatkan persepsi bahawa konflik berkenaan bukan semata-mata berasaskan keperluan keselamatan, sebaliknya dipengaruhi pertimbangan politik dan tekanan luar, sekali gus menjejaskan integriti proses penilaian risikan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua FBI, Kash Patel turut dilaporkan berdepan kemungkinan disingkirkan, menandakan krisis dalaman mungkin terus berlanjutan ke peringkat lebih luas dalam struktur keselamatan negara itu.
Secara keseluruhan, siri pemecatan dan peletakan jawatan berkenaan mencerminkan ketidakstabilan yang semakin ketara dalam pentadbiran Trump.
Ia bukan sekadar rombakan biasa, tetapi petunjuk kepada keretakan institusi ketika Amerika Syarikat berdepan konflik luar yang gagal mencapai sasaran, sekali gus menimbulkan implikasi besar terhadap kedudukan strategik negara itu di pentas global.- Agensi


