Perikatan Nasional (PN) memaklumkan bahawa beberapa tokoh berprofil tinggi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) dijangka menyertai gabungan tersebut.
Banyak sedang berkawan dengan kita

Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Muhammad Sanusi Md Nor tidak mendedahkan identiti individu berkenaan buat masa ini sebaliknya menjelaskan bahawa permohonan rasmi sudah diterima dan kini masih dalam proses penelitian.
“Kita akan dedah siapa tokoh terbabit apabila tiba masanya. Buat masa ini, ia belum dibincangkan secara muktamad sekali pun ada permohonan sudah dihantar kepada kami.
“Ada banyak tokoh besar NGO dan NGI serta parti yang sedang berkawan dengan kita termasuk PEJUANG (Parti Pejuang Tanah Air).
“Mereka (PEJUANG) juga sudah membuat permohonan tapi belum dibincangkan lagi. Ada yang mohon namun belum mengaku secara terbuka jadi saya tak boleh cakap lagi, nanti maklumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Ceramah Perdana dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Johor yang berlangsung di Pusat Komuniti PAS Muar, Parit Tarom, malam tadi.
Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS Johor, Mahfodz Mohamed serta Ketua Bersatu Johor, Sahruddin Jamal.
Sebelum ini, Presiden PEJUANG, Mukhriz Mahathir memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar surat kepada Pengerusi PN ketika itu, Muhyiddin Yassin bagi memohon supaya parti berkenaan diterima sebagai komponen dalam gabungan tersebut.
Menurutnya, salinan surat sama turut dikemukakan kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden GERAKAN, Dominic Lau.
Artikel lain:Digelar ‘budak catur’, Akmal Saleh selar Sanusi -“Melayu perlu disatukan, bukan diperbodoh”
Dalam perkembangan lain, menyentuh pelantikan Ketua Pembangkang baharu, Sanusi berkata keputusan itu perlu dibuat oleh Ahli Parlimen PN dan dijangka dimuktamadkan sebelum sidang Parlimen pada Jun depan.
Menteri Besar Kedah itu turut menegaskan bahawa pemilihan jawatan berkenaan dibuat di peringkat Parlimen, sambil mengulangi bahawa calon yang dipersetujui adalah daripada kalangan Ahli Parlimen PAS.
“Saya bukan ahli parlimen tapi dipersetujui (Ketua Pembangkang) daripada PAS. Bila dilantik nanti, ia perlu dimaklumkan dan disahkan di Parlimen,” katanya.
Sumber: Harian Metro (Alias Abd Rani)




