DAP tolak kerajaan ‘pintu belakang’ di Negeri Sembilan

DAP tolak kerajaan ‘pintu belakang’ di Negeri Sembilan

SEREMBAN: DAP menolak sebarang usaha untuk membentuk kerajaan Negeri Sembilan melalui tindakan ‘pintu belakang’ ketika kemelut politik melanda negeri itu selepas 14 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dipimpin Datuk Seri Aminuddin Harun.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Menteri Besar hanya boleh disingkirkan melalui dua kaedah iaitu undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau pelantikan baharu yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sekiranya terdapat sokongan majoriti.

“Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan dibentuk atas mandat jelas rakyat pada Pilihan Raya Negeri  2023. Sebarang cubaan menukar kerajaan di luar proses demokrasi adalah tidak wajar,” katanya pada sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan di sini hari ini.

Anthony Loke yang juga ADUN Chennah berkata, DAP tetap menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan serta menghormati institusi diraja negeri tanpa campur tangan dalam sebarang pertikaian melibatkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Undang Yang Empat.

Menurutnya, sebarang tindakan berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan perlu melalui proses yang ditetapkan dalam Artikel 10 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959 termasuk siasatan penuh sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“DAP tidak mempertikaikan kuasa Undang Yang Empat namun proses itu mesti lengkap. Setakat ini, kami berpandangan ia belum dimuktamadkan. Dalam konteks sebagai ADUN, kami masih mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seremban itu memaklumkan DAP menerusi 11 orang ADUNnya menyatakan sokongan penuh kepada Aminuddin untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara, Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abdul Rahman juga menyatakan sokongan berterusan parti itu kepada kepimpinan Aminuddin serta Kerajaan Perpaduan negeri.

Beliau berkata, Amanah komited mempertahankan kerajaan sedia ada dan akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat serta pembangunan negeri.

“Kami terkejut dengan perkembangan ini, namun pendirian kami jelas untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan dan menghormati segala keputusan yang dibuat mengikut perlembagaan negeri,” katanya.-UTUSAN.

Scroll to Top