Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan beliau akan meneruskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan walaupun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadapnya.
Beliau juga tidak melihat keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) setakat ini.
Katanya, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, turut menitahkan supaya pentadbiran kerajaan negeri diteruskan selepas menyembah maklum perkembangan terkini kepada baginda.
Beliau yang juga ADUN Sikamat turut menjelaskan pentadbiran negeri akan terus berjalan sebagai kerajaan minoriti.
“Kita akan jalankan pentadbiran kerajaan negeri sedia ada sehingga ada keputusan yang jelas.
“Saya akan teruskan tugasan sebagai Menteri Besar,” katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bersama kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri hari ini.
Aminuddin berkata, setakat ini tiada sebarang pandangan daripada mana-mana pihak berhubung keperluan membubarkan DUN Negeri Sembilan.
“Buat masa ini belum ada pandangan seperti itu (mencadangkan pembubaran DUN),” katanya.
Sementara itu, Aminuddin mengakui terkejut dengan tindakan 14 ADUN BN itu, namun menegaskan beliau belum mempunyai perancangan untuk bertemu mereka bagi meleraikan krisis yang sedang berlaku.
Status Kerajaan Negeri Sembilan berada dalam keadaan getir apabila BN selaku ‘rakan kongsi utamanya’, yang menguasai 14 daripada 36 kerusi DUN menarik sokongan pagi tadi.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, penarikan sokongan secara sebulat suara itu adalah rentetan daripada krisis adat yang berlaku di negeri itu pada masa ini.
“Saya bersama 14 ADUN yang mewakili UMNO dan BN Negeri Sembilan sangat dukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku yang dilihat bakal menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dan secara tidak langsung memberi kesan mendalam kepada kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat.
“Justeru, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan, dengan ini sebulat suara hilang kepercayaan kepada YAB Menteri Besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya yang juga ADUN Pertang dan Ahli Parlimen Jelebu.
Berikutan penarikan sokongan itu, Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan mengumumkan sedia bekerjasama dengan BN bagi membolehkan kerajaan negeri yang baharu ditubuhkan.
Daripada jumlah kerusi DUN yang membentuk kerajaan negeri, Pakatan Harapan (PH) menguasai 17 kerusi iaitu DAP (11), PKR (5) dan AMANAH (1) manakala BN, 14 kerusi.
PN sebagai pembangkang pula memiliki lima kerusi DUN.




