MBJ disaran lebih proaktif bela kebajikan warga kerja SPRM

MBJ disaran lebih proaktif bela kebajikan warga kerja SPRM

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Majlis Bersama Jabatan (MBJ) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sesi 2026/2027 disaran lebih proaktif dan agresif dalam menggalas peranan sebagai ‘suara’ warga kerja, sekali gus memastikan agenda kebajikan setiap skim perkhidmatan terbela.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, MBJ adalah platform strategik yang kritikal dalam merapatkan jurang antara pihak pengurusan dan kakitangan bagi merealisasikan visi organisasi secara kolektif.

Katanya, ia perlu mengutamakan agenda pembangunan modal insan yang menyeluruh terutama aspek kritikal seperti peluang kenaikan pangkat, melanjutkan pengajian dan laluan kerjaya.

“Pembangunan modal insan tidak seharusnya bersifat berpusat di ibu pejabat semata-mata, malah perlu diintegrasikan secara meluas ke peringkat negeri dan cawangan,” katanya.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat MBJ Bil 1/2026 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.

Ahmad Khusairi turut menekankan aspek disiplin serta etika kerja dan warga SPRM digesa tidak culas sebaliknya mengekalkan kehadiran ke pejabat serta mematuhi peraturan ditetapkan.

“Tiada kompromi dalam soal integriti. Tindakan tatatertib tegas menanti mana-mana pihak yang melanggar peraturan jabatan. Disiplin adalah tunjang kepada kredibiliti kita sebagai penguat kuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MBJ SPRM sesi 2026/2027, Azizi Abdul Latif berkata, pihaknya komited menjamin kesejahteraan warga SPRM dengan mengetengahkan isu utama bagi pertimbangan pengurusan tertinggi untuk manfaat bersama.

Katanya, MBJ memikul amanah besar sebagai mekanisme yang menghubungkan pihak pengurusan dengan warga kerja di akar umbi terutama memperjelaskan dasar dan hasrat pengurusan tertinggi supaya ia difahami semua peringkat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top