Paris: Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Luis Enrique menegaskan tiada pasukan di Eropah yang lebih baik daripada skuad kendaliannya ketika ini menjelang aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Bayern Munich, awal pagi Rabu ini.
Enrique berkata, kedua-dua pasukan layak dianggap terbaik di Eropah ketika ini berdasarkan prestasi konsisten, meskipun Arsenal turut mempamerkan musim cemerlang.
“Ini adalah dua pasukan terbaik di Eropah. Dari segi konsistensi, mungkin Bayern sedikit di hadapan kami, tetapi kami telah membuktikan tiada pasukan yang lebih baik daripada kami,” katanya menjelang aksi pertama di Parc des Princes.
PSG mara ke separuh akhir buat musim ketiga berturut-turut sejak Enrique mengambil alih pada 2023 dan kini mengintai kejuaraan berturut-turut selepas menjuarai kejohanan itu buat kali pertama musim lalu.
Kelab dari Paris itu melangkah ke kelompok empat terbaik selepas menewaskan Chelsea dan Liverpool pada dua pusingan terdahulu.
“Ia satu pencapaian yang wajar. Untuk sampai ke tahap ini, anda perlu ada cita-cita besar dan kami memilikinya. Kami mahu melangkah lebih jauh,” katanya.
PSG dan Bayern sudah bertemu sebanyak tiga kali sejak musim lalu dengan kedua-dua pasukan saling mencatat kemenangan.
Pasti pertembungan kali ini bakal menyajikan sesuatu yang lebih sengit.
Dalam perkembangan sama, PSG menerima khabar positif apabila pemain tengah Portugal, Vitinha, kembali menjalani latihan selepas terlepas dua perlawanan akibat kecederaan.
“Semua pemain sudah bersedia,” kata Enrique yang turut menyaksikan Fabian Ruiz kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan ketika membantu PSG menewaskan Angers 3-0 dalam aksi liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd




