am@hmetro.com.my
Kuala Berang: Pemasangan sistem pencahayaan di dalam Gua Bewah, Tasik Kenyir, di sini dijangka mampu menarik lebih ramai pelancong ke gua kedua terbesar di negara ini selepas Gua Niah di Sarawak.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata cadangan menaik taraf kemudahan di Gua Bewah dibuat susulan maklum balas pengunjung yang mahukan suasana lebih menarik selain memudahkan aktiviti dalam gua termasuk fotografi.
”Dengan adanya sistem pencahayaan, ia memberi pengalaman lebih baik kepada pengunjung di samping meningkatkan tahap keselamatan terutama di kawasan gelap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pembangunan semula kawasan Gua Bewah turut membabitkan pelbagai penambahbaikan lain termasuk menaik taraf tandas, papan tanda, pintu gerbang serta pembaikan pendawaian lampu solar.
Dalam masa sama, beliau berkata aspek keselamatan turut diberi perhatian dengan pembinaan titi simen bagi menggantikan titi kayu sedia ada di dalam gua berkenaan.
Razali berkata, bagi merealisasikan usaha itu, kerajaan negeri memohon peruntukan sebanyak RM434,710 di bawah Program Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Katanya, program berkenaan bertujuan membaik pulih aset pelancongan, kebudayaan dan warisan negara supaya lebih lestari, selamat serta menarik kepada pengunjung.
”Selain Gua Bewah, pokok Melunak dan Santuari Kelah antara produk utama Tasik Kenyir yang menjadi tumpuan pelancong dan kerajaan negeri komited memastikan pembangunan pelancongan dilaksanakan secara lestari, selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, seramai 23,326 pelancong direkodkan mengunjungi Gua Bewah sepanjang tahun lalu, sekali gus menunjukkan potensi besar lokasi itu sebagai tarikan utama di Tasik Kenyir.
Sebagai persediaan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2027, kerajaan negeri juga merancang membina kaunter di pintu masuk gua bagi merekodkan data kemasukan pelancong secara lebih sistematik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




