Negeri Sembilan tidak dijangka adakan Pilihan Raya Negeri – PM Anwar

Negeri Sembilan tidak dijangka adakan Pilihan Raya Negeri – PM Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Negeri Sembilan tidak dijangka mengadakan pilihan raya negeri di tengah-tengah kemelut pemerintahan yang berlaku ketika ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bagaimanapun berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kemungkinan besar tidak. (Namun) ia terpulang kepada Tuanku, dan sudah tentu persidangan DUN,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tertutup dengan kepimpinan tertinggi Huawei, yang diadakan sempena pelancaran Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada pilihan raya negeri akan diadakan untuk menyelesaikan situasi di negeri itu.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata sebarang perkembangan mengenai pentadbiran Negeri Sembilan akan diumumkan apabila tiba masanya.

Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan bertemu Anwar segera untuk membincangkan perkara itu.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata mesyuarat itu antara lain akan menyentuh tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menarik balik sokongan mereka terhadap kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top