Bandar Oslo di Norway adalah antara peneraju mobiliti hijau dunia namun satu isu luar jangka telah mencetuskan sati dilema semasa melaksanakan dasar ini. Operator pengangkutan awam bandar iaitu Ruter telah menjalankan ujian keselamatan terhadap beberapa bas elektrik yang digunakan dalam rangkaian mereka.
Antara model yang diuji termasuk bas daripada pengeluar China, Yutong dan hasil kajian membuka mata banyak pihak di Eropah. Ujian tersebut mendapati bahawa sistem dalam bas elektrik moden ini mempunyai tahap sambungan digital yang tinggi, termasuk keupayaan untuk diakses dari jauh.
Akses ini bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam dunia kenderaan moden, kerana kebanyakan EV hari ini dilengkapi dengan sistem kemas kini over-the-air (OTA), diagnostik jarak jauh, serta pemantauan prestasi bateri secara langsung. Namun, apa yang menimbulkan kebimbangan ialah potensi penyalahgunaan akses tersebut, khususnya dalam konteks infrastruktur awam.
Dalam kes bas Yutong, laporan ujian menunjukkan bahawa pengeluar mempunyai keupayaan untuk berinteraksi dengan sistem tertentu dalam kenderaan, termasuk sistem bateri dan perisian operasi. Secara teori, akses ini boleh digunakan untuk mematikan atau mengehadkan fungsi bas dari jarak jauh.
Walaupun ia bertujuan untuk tujuan penyelenggaraan dan kemas kini sistem, kemungkinan ia dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab telah mencetuskan kebimbangan keselamatan. Isu ini mendedahkan realiti baharu dalam dunia automotif iaitu kenderaan kini bukan lagi mesin mekanikal semata-mata, tetapi peranti digital bergerak.
Dalam erti kata lain, setiap bas elektrik moden adalah sebahagian daripada ekosistem internet yang sentiasa berhubung. Ini bermakna, sebarang kelemahan dalam keselamatan siber boleh memberi kesan yang jauh lebih besar berbanding kerosakan mekanikal biasa.
Kebimbangan menjadi lebih serius apabila melibatkan pengangkutan awam. Bas bukan sekadar kenderaan individu, tetapi sebahagian daripada sistem kritikal sesebuah bandar. Jika berlaku gangguan serentak, sama ada akibat kegagalan sistem atau serangan siber, ia boleh melumpuhkan operasi harian bandar tersebut.
Dalam senario ekstrem, ia juga boleh memberi implikasi kepada keselamatan negara, terutamanya jika melibatkan konflik geopolitik. Sebagai tindak balas, beberapa negara Eropah mula mengambil langkah berjaga-jaga. Norway sendiri memperketatkan keperluan keselamatan siber untuk kenderaan dalam rangkaian awam mereka, manakala Denmark dan United Kingdom turut memulakan penilaian terhadap risiko yang sama.
Fokus utama kini bukan sekadar kepada prestasi atau kecekapan tenaga, tetapi juga kepada ketelusan sistem dan kawalan data. Pihak Yutong pula tampil mempertahankan teknologi mereka dengan menyatakan bahawa sistem tersebut tidak memberikan akses kepada kawalan kritikal seperti stereng atau brek.
Mereka juga menegaskan bahawa data kenderaan disimpan di pelayan yang berpangkalan di Eropah, serta akses yang diberikan hanyalah untuk tujuan penyelenggaraan dan sokongan teknikal. Dari sudut teknikal, ini adalah amalan biasa dalam industri, namun persoalan tentang siapa yang berkuasa mengawal sistem masih menjadi topik perbahasan.




