Pemuda UMNO tolak pendekatan 'tebuk atap' di Negeri Sembilan

Pemuda UMNO tolak pendekatan 'tebuk atap' di Negeri Sembilan

am@hmetro.com.my

Melaka: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan pendiriannya kekal konsisten sejak berlakunya Langkah Sheraton pada 2020 sehingga kini, iaitu menolak sebarang pembentukan kerajaan melalui pendekatan ‘tebuk atap’.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata ia sejajar dengan prinsip perjuangan UMNO yang tidak pernah tergadai walaupun parti itu bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam landskap politik semasa.

“Jika garis merah yang sudah digariskan oleh UMNO dilanggar, maka kita wajib mempertahankan prinsip lebih daripada mempertahankan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) itu berkata, UMNO, khususnya di Negeri Sembilan kini berdepan dua pilihan utama iaitu menjadi pembangkang yang bermaruah atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi mandat semula kepada rakyat untuk membuat pilihan.

“Dua pilihan yang ada bagi UMNO adalah menjadi pembangkang yang bermaruah ataupun membubarkan DUN untuk kita serahkan kepada rakyat untuk memilih (mengundi). Full stop (noktah),” katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan BN Negeri Sembilan malam ini, memaklumkan parti itu sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.

Mereka memaklumkan majoriti mudah itu diperoleh selepas sokongan dinyatakan lima ADUN Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Ketika ini, BN menguasai 14 daripada 36 kerusi DUN di Negeri Sembilan, manakala Pakatan Harapan (PH) mempunyai 17 kerusi dan lima dimiliki PN.

Dengan tambahan lima kerusi PN, UMNO dan BN kini mempunyai 19 kerusi DUN, mengatasi 17 kerusi yang diperlukan untuk mencapai penguasaan majoriti mudah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top