Tiga maut dalam kemalangan kereta, lori

Tiga maut dalam kemalangan kereta, lori

Alor Gajah: Tiga lelaki maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori di Jalan Felda Hutan Percha dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Segamat, Johor hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori yang datang dari arah Tebong menuju ke Cheng.

“Seorang penumpang di tempat duduk belakang sebelah kanan kereta berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua lagi mangsa yang menaiki kereta sama, iaitu pemandu berusia 23 tahun dan seorang penumpang berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Ahmad berkata, seorang lagi penumpang wanita berusia 23 tahun masih menerima rawatan di Hospital Melaka.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 59 tahun dan kelindannya berusia 28 tahun turut mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Tampin.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman kamera papan pemuka diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-2543 5507 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top