Mengapa pergolakan politik berlaku di Negeri Sembilan?

Mengapa pergolakan politik berlaku di Negeri Sembilan?

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Landskap politik Negeri Sembilan hari ini secara tiba-tiba ‘bergegar’ apabila UMNO/Barisan Nasional (BN) negeri itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, susulan krisis membabitkan Institusi Adat dan Perlembagaan.

Keputusan sebulat suara membabitkan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO itu diumumkan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias dalam sidang media khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan hari ini selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin.

Jalaluddin menjelaskan pendirian itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya berlandaskan prinsip mempertahankan Institusi Adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan serta memastikan pentadbiran negeri kekal stabil demi kepentingan rakyat.

“Kesemua 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan dengan ini sebulat suara hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan beliau.

“Kami mendokong penuh serta mempertahankan Institusi Adat dan Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, dan mahukan kerajaan yang stabil supaya dapat memberi fokus kepada usaha mensejahterakan rakyat serta mengukuhkan ekonomi negeri,” katanya.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 lalu, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi, diikuti BN 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) hanya memperoleh lima daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.

Pentadbiran Negeri Sembilan yang kini diterajui Aminuddin dengan komposisi kerusi yang stabil hasil gabungan PH dan BN pada PRN lalu.

Sebelum ini, krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan Undang Luak pada 19 April lalu mengisytiharkan penurunan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungai Ujong.

Pada keesokannya, Aminuddin menegaskan tindakan memecat Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf kerana individu yang membuat pengisytiharan tiada kuasa sah sebagai Undang.

Berikutan krisis itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung selama empat hari bermula Jumaat lalu terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan, walaupun istiadat pembukaan sidang berkenaan sudah disempurnakan Tuanku Muhriz pada Khamis lalu.

Susulan penarikan sokongan ADUN UMNO itu, PN Negeri Sembilan dalam sidang media selepas itu menyatakan sokongan terhadap tindakan berkenaan.

Ketua Pembangkang, Mohamad Hanifah Abu Baker dilaporkan berkata, lima ADUN PN bersedia bekerjasama dengan 14 ADUN UMNO BN bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri serta kelangsungan pentadbiran dapat dipertahankan.

Mohamad Hanifah turut menyerahkan surat kesediaan bekerjasama itu kepada wakil UMNO yang diwakili oleh Setiausaha UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor.

Dalam pada itu, Aminuddin dalam sidang media pada 5 petang tadi di kediaman rasminya memaklumkan akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya seperti biasa.

Beliau yang terkejut dengan keputusan UMNO itu berkata, perkara itu dinasihati Tuanku Muhriz selepas mempersembahkan situasi terkini di Negeri Sembilan itu, tengah hari semalam.

Dalam sidang media sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menyatakan pendirian semua 11 ADUN parti itu, akan terus menyokong Aminuddin untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan,

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan UMNO Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap Aminuddin adalah keputusan parti itu di peringkat negeri.

Katanya, UMNO dan BN peringkat nasional akan meneliti keputusan penarikan sokongan dan implikasi politik yang dijangka akan berlaku susulan tindakan berkenaan.

Ahmad Zahid turut mengakui, pihaknya mengetahui rancangan penarikan sokongan yang dibuat oleh UMNO Negeri Sembilan itu.

Kemelut itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta semua pihak memberi ruang kepada Aminuddin untuk mengumumkan perkembangan politik di negeri itu.

“Menteri Besar dan Pakatan Harapan, kita akan umumkan kemudian,” katanya ringkas kepada pemberita, hari ini.

Mengulas situasi itu, penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan terdapat dua pilihan utama yang boleh dipertimbangkan bagi meredakan kemelut berkenaan.

Menurutnya, pilihan pertama dan paling signifikan adalah pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN, manakala pilihan kedua ialah pembentukan kerjasama politik baharu.

Bagaimanapun, beliau melihat kemungkinan kerjasama antara UMNO dan PN di peringkat negeri sebagai sukar direalisasikan berikutan ketiadaan kesepakatan antara kedua-dua parti di peringkat nasional.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top