Kerjaya seni satu kepuasan selari kerjaya di sektor awam

Kerjaya seni satu kepuasan selari kerjaya di sektor awam

puterialia@hmetro.com.my

SIRI 3

ZAMAN remaja sering dipenuhi dengan impian tinggi melangit. Begitu juga dengan penyanyi, Azian Mazwan Sapuwan yang pernah menyimpan cita-cita mahu bergelar guru sebelum berpaling arah ke bidang perakaunan.

Siapa sangka minat yang dipendam sejak bangku sekolah akhirnya menjadi kerjaya tetapnya sehingga ke hari ini.

Biarpun sudah lebih sedekad berkhidmat sebagai penjawat awam, Azian membuktikan bahawa dia mampu mengimbangi dua dunia yang berbeza tanpa ada rasa tertekan.

Menurut Azian, 51, keputusan untuk bekerja di sektor swasta juga pernah diambil kira ketika kurang menerima undangan persembahan sambil menganggap kerjaya tetap adalah langkah terbaik demi memberi sokongan serta jaminan buat keluarga dan anak-anak.

“Saya mohon kerja di bidang perakaunan dan ketika itu memang kurang dapat undangan persembahan.

“Jadi saya rasa saya patut kerja untuk sokong anak-anak dan keluarga. Apabila sudah bekerja (tetap), dalam masa yang sama saya cuba perbaiki apa yang patut dari segi nyanyian.

“Ketika itu saya bekerja di sektor swasta. Selepas itu saya mohon kerja di sektor awam pula. Ketika itu, saya rasa memang mahu kerja lagi,” katanya.

Menyentuh mengenai perjalanan kerjayanya, Azian berkongsi dia terlebih dahulu menimba pengalaman luas dalam sektor swasta bermula dari 1996 dan mula berkhidmat dalam sektor awam sejak 2010.

“Saya bermula dalam sektor swasta pada 1996 dalam bidang perakaunan sebelum mendapat peluang serta pencerahan untuk memohon jawatan dalam sektor awam pada 2010,” katanya.

Bagaimanapun, Azian mengakui pembabitannya dalam bidang nyanyian ketika itu lebih bersifat tertutup dan jarang mendapat liputan meluas daripada pihak media mahupun di kaca televisyen.

“Rakan-rakan artis tahu saya ada di sini dan kami selalu buat persembahan sekali, cuma ada persembahan dibuat secara tertutup dan tidak terdedah kepada media, jadi penglibatan saya aktif sahaja tanpa ada pendedahan di televisyen,” katanya lagi.

Meskipun terpaksa membahagikan masa, Azian mengakui tidak berasa tertekan kerana dia melakukan dua perkara yang amat diminatinya sejak kecil lagi.

Sokongan padu daripada keluarga menjadi kekuatan utama buat Azian untuk terus menabur bakti sebagai penjawat awam sehingga ke hari ini.

Menurut Azian, suaminya tidak pernah menghalang, malah sentiasa merestui keputusan yang diambilnya demi kelangsungan kerjaya dan masa depan mereka sekeluarga.

“Suami saya tidak pernah membangkang dan dia hanya mengikut sahaja apa yang saya kehendaki kerana kami berdua masing-masing bekerja dan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Walaupun begitu, minat mendalam terhadap dunia seni menjadi nadi buat Azian untuk terus aktif dalam bidang nyanyian meskipun sudah mempunyai kerjaya tetap dalam sektor awam.

Azian menegaskan pembabitannya dalam bidang nyanyian kini bukanlah untuk bersaing, sebaliknya lebih kepada mencari kepuasan diri kerana api cintanya terhadap dunia seni tidak pernah terpadam.

“Saya tidak berkira sangat soal bayaran, kadang-kadang saya anggap persembahan itu sebagai hadiah sahaja kerana rasa puas dapat menyanyi dan memenuhi permintaan peminat yang mahu saya menyanyi lagu-lagu lama,” kongsinya.

Prinsip tidak mudah lentur dan sentiasa cekal berdepan cabaran menjadi rahsia kekuatan Azian dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebagai anak seni dan penjawat awam.

“Kita tidak boleh malu kerana jika minat sesuatu perkara, kena berani tonjolkan diri, malah saya selalu pesan pada anak-anak kalau malu, kita tidak akan boleh ke depan.

“Saya tidak kisah apa orang mahu cakap sama ada nyanyian saya tidak sedap atau apa sahaja komen lain, yang penting kita cari rezeki dalam bidang yang kita minat.

“Saya selalu ingatkan anak-anak supaya yakin dan pedulikan kata orang kerana mereka tidak berada di tempat kita, yang penting kita terus buat penambahbaikan dalam diri,” katanya lagi.

Sementara itu, penyanyi asal Batu Buruk, Terengganu ini turut menzahirkan rasa syukur apabila bakat yang dimilikinya masih kekal utuh dan diterima baik orang ramai sehingga ke hari ini.

Azian menyifatkan suaranya sebagai satu anugerah yang perlu dijaga sebaik mungkin selagi masih mampu untuk terus berkarya dalam industri seni tanah air.

“Selagi saya boleh menyanyi dan ada suara, saya akan teruskan kerana ramai yang kata suara saya masih sama seperti dahulu walaupun ada sedikit perubahan yang masih boleh dikawal.

“Peminat saya kebanyakannya membesar bersama-sama dengan lagu dan usia saya, jadi jika peminat sekarang terdiri daripada mereka yang sebaya, saya okay sahaja dan tetap tenang,” katanya.

Katanya, sebagai figura yang dikenali, menjaga imej diri dan nama baik adalah keutamaan paling tinggi walaupun ketika menyepi seketika daripada dunia hiburan sebelum ini.

“Walaupun dulu saya menyepi lama, orang tetap kenal apabila saya keluar, jadi memang kena jaga imej supaya sentiasa dihormati orang ramai.

“Bila anak-anak sudah besar, saya rasa gembira apabila orang masih kenal dan tegur saya nampak sama seperti dulu, apa yang penting adalah kita kekalkan diri dengan menjaga hati dan tingkah laku kita,” katanya lagi.

Kini, pada usia 51 tahun, Azian membuktikan bahawa status dan usia bukan penghalang untuk terus aktif berkarya selagi nafas dikandung badan dan suara masih mampu melontarkan melodi indah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top