Cubaan 4 PATI melarikan diri gagal selepas kenderaan terbabas, langgar tiang lampu

Cubaan 4 PATI melarikan diri gagal selepas kenderaan terbabas, langgar tiang lampu

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Cubaan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang remaja 14 tahun melarikan diri dengan sebuah kenderaan gagal apabila terbabas sehingga melanggar tiang lampu sebelum diberkas, di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 9 49 pagi semalam memaklumkan petugas lapangan SL542 sedang mengejar sebuah kereta jenis Honda City warna kelabu di Dataran Otomobil Seksyen 15 menghala ke Bulatan Seksyen 15 Shah Alam.

“Kita turut mengarahkan petugas lapangan lain yang berhampiran untuk memberi bantuan untuk mengejar suspek.

“Pemandu kenderaan terbabit enggan memberhentikan kenderaan apabila diarahkan anggota polis dengan cara pasang ‘beacon light,’ membunyikan hon serta menggunakan pembesar suara.

“Pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju serta memandu secara melulu dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Bagaimanapun Ramsay berkata, kenderaan itu terbabas melanggar tiang lampu dan berjaya ditahan di kawasan perumahan Jalan Ibus Dua 18/40b seksyen 18 Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati terdapat tiga lelaki Indonesia serta satu perempuan Indonesia dan tiada apa-apa barang salah di dalam kenderaan itu.

“Semakan kesemua yang berumur 14 tahun sehingga 41 tahun itu, mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Saringan awal air kencing ke atas semua suspek mendapati dua daripada empat suspek positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam dalam menjalankan tugas dan memandu secara gopoh di jalan awam).

“Kes turut disiasat mengikut Sek 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah).

“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda yang boleh sampai sepuluh ribu ringgit, atau dengan kedua-duanya,” katanya

Katanya, bagi kesalahan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan, atau dengan denda yang boleh sampai RM2,000 atau dengan kedua-duanya.

“Bagi kesalahan mengisi Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 boleh dihukum dengan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan hendaklah bertangunggan kepada sebatan tidak lebih daripada enam sebatan.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Ariff Mat Saman @ Abdul Ghani di talian 019-2647349,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top