Cuaca panas: Tambah baik sistem pengudaraan dalam kelas – KONGRES

Cuaca panas: Tambah baik sistem pengudaraan dalam kelas – KONGRES

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Fenomena gelombang haba yang sedang melanda negara ketika ini menuntut perhatian serius semua pihak, khususnya dalam sektor pendidikan yang terkesan secara langsung akibat perubahan cuaca ekstrem.

Presiden Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES), Mohamad Zapawi Mamat berkata, suhu tinggi berpanjangan bukan sahaja memberi kesan kepada kesihatan fizikal, malah menjejaskan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

“Dalam keadaan suhu semakin meningkat, bilik darjah yang kurang pengudaraan boleh menjadi ruang tidak kondusif kepada murid dan guru.

“Murid berdepan risiko dehidrasi, keletihan serta hilang tumpuan, manakala guru pula perlu berhadapan tekanan berganda untuk memastikan PdP terus berjalan dengan berkesan,” katanya.

Menurutnya, langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengehadkan aktiviti luar ketika cuaca ekstrem adalah tepat demi keselamatan warga sekolah.

Bagaimanapun, Mohamad Zapawi berkata implikasi terhadap aktiviti kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid perlu ditangani secara bijaksana serta seimbang.

“Keselamatan tidak boleh dikompromi, namun pendekatan alternatif perlu dirangka agar pembangunan holistik murid terus diperkasa walaupun dalam kekangan cuaca,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tekanan akibat cuaca panas turut memberi kesan kepada emosi dan tingkah laku warga sekolah termasuk peningkatan tahap tekanan serta kerengsaan yang boleh menjejaskan keharmonian persekitaran pembelajaran.

Sehubungan itu, beliau berkata, KONGRES menggesa pihak berkaitan mengambil langkah segera termasuk menambah baik sistem pengudaraan dalam bilik darjah dan memastikan bekalan air bersih mencukupi di semua sekolah.

“Selain itu, kelonggaran pemakaian seragam yang lebih sesuai dengan cuaca serta penyusunan semula jadual aktiviti bagi mengelakkan pendedahan kepada suhu ekstrem juga perlu dipertimbangkan,” katanya.

Untuk jangka panjang, katanya, KONGRES menekankan keperluan pembinaan dan naik taraf infrastruktur sekolah yang lebih mesra iklim termasuk penggunaan teknologi hijau dan penambahan kawasan teduhan bagi mengurangkan kesan pulau haba.

“Perubahan iklim adalah realiti yang perlu ditangani secara serius. Dasar dan perancangan pendidikan mesti selari dengan cabaran semasa, dengan meletakkan keselamatan serta kesejahteraan guru dan murid sebagai keutamaan.

“Untuk itu, saya menyeru semua pihak termasuk pentadbir sekolah, ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat, sihat dan kondusif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top