Usahawan terkenal, Datin Seri Shahida bergegas membawa anak perempuannya, Qadejah ke hospital selepas mengadu sakit dada hingga sukar bernafas.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Shahida memaklumkan doktor mendapati paras platelet darah anaknya berada pada tahap rendah walaupun telah diperiksa sebanyak tiga kali.
“Qadejah mengadu sakit dada malam tadi sampai susah nak bernafas. Sebaik tiba di hospital, doktor buat pemeriksaan dan beritahu platelet dia sangat rendah, ada kemungkinan tertentu.
“Sudah tiga kali ambil darah, tetapi bacaan platelet masih lagi rendah,” katanya.
Dalam masa sama, isteri kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri itu mengakui tidak mampu menyembunyikan kegusaran melihat keadaan anaknya, namun tetap berharap agar tiada perkara serius berlaku.
“Kalau anak sakit, memang tak boleh nak tangguh. Hati terus risau dan fikir macam-macam.
“Mama minta doa semua supaya Qadejah cepat sembuh dan dijauhkan daripada penyakit yang tidak diingini.
“Nak buat apa pun tak jadi, perasaan seorang ibu bila anak sakit memang lain,” luahnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengikut turut menzahirkan doa serta kata-kata semangat agar Qadejah kembali pulih seperti sediakala.




