GEORGE TOWN: Malaysia dan Turkiye bersetuju untuk mewujudkan sebuah institut khas yang dikenali sebagai Institut Malaysia-Turkiye sebagai langkah memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, ketika ini, dua lokasi telah dikenal pasti bagi penubuhan institut tersebut iaitu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM), selain sebuah lagi institusi yang akan diwujudkan di universiti di Turkiye.
Beliau berkata, ketika ini, UM juga telah memeterai satu perjanjian persefahaman rasmi sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan penubuhan institut berkenaan.
”Penubuhan Institut Malaysia-Turkiye ini akan menjadi platform penting dalam memperluas kerjasama akademik, penyelidikan dan pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia-Turkiye di sini, hari ini. Hadir sama Presiden Majlis Pendidikan Tinggi Turkiye, Prof. Dr. Erol Ozvar.
Menurut Zambry, Turkiye juga telah menyatakan kesediaan mereka untuk menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia bagi melanjutkan pengajian di negara tersebut.
”Pada masa yang sama, Malaysia merancang untuk menghantar lebih ramai pelajar ke universiti terkemuka di Turkiye yang mempunyai kepakaran dalam bidang seperti aeroangkasa, teknologi dan penyelidikan,” katanya.
Zambry berkata, ketika ini jumlah pelajar Malaysia di Turkiye masih kecil iaitu sekitar 272 orang. Namun, usaha akan dipergiat bagi meningkatkan penyertaan dalam pelbagai bidang kritikal.
Beliau berkata, pelajar di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk lepasan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berpotensi dihantar melanjutkan pengajian ke negara berkenaan. – UTUSAN




