Kemunculan jenama China dalam dunia prestasi tinggi kini semakin sukar dipandang ringan. Terbaharu, sub-jenama prestasi di bawah BYD iaitu Fang Cheng Bao tampil mencuri perhatian apabila mendedahkan interior bagi supercar konsep mereka, dikenali sebagai BYD Formula X sempena Auto China 2026.
Model ini bukan sekadar konsep biasa, tetapi dilihat sebagai petunjuk jelas bahawa BYD kini serius mahu menembusi segmen supercar global. Formula X dibangunkan di bawah strategi “FORM architecture”, iaitu satu pendekatan yang menggabungkan pembangunan model arus perdana dengan kenderaan eksperimen berprestasi tinggi.
Ini bermaksud, BYD bukan sekadar mahu menghasilkan kereta elektrik yang efisien dan mampu milik, tetapi juga ingin membina identiti melalui rekaan yang beremosi, elemen yang selama ini sinonim dengan jenama Eropah seperti Ferrari atau Lamborghini.

Dari sudut rekaan luaran, Formula X tampil dengan pendekatan yang agak unik. BYD menyifatkan bahasa reka bentuknya sebagai diinspirasikan oleh biological evolution, menjadikan keseluruhan bentuk badan kelihatan organik tetapi agresif.
Bahagian hadapan dihiasi lampu nipis yang digelar Fengbao Eye, manakala di belakang pula terdapat rekaan lampu Infinity Ring yang memberikan identiti futuristik yang sangat kuat. Nisbah badan yang rendah dan lebar, sekitar 1:2.5, menjadikan kereta ini jelas dibina dengan fokus kepada aerodinamik dan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Apa yang lebih menarik, keseluruhan struktur badan Formula X menggunakan gentian karbon sepenuhnya. Penggunaan material ini bukan sahaja membantu mengurangkan berat, malah meningkatkan ketegaran casis, aspek penting dalam dunia supercar.

Dari segi aerodinamik pula, kereta ini dilengkapi dengan enam saluran udara utama dan 19 lubang ventilasi yang direka khusus untuk mengawal aliran udara di sekeliling badan. Tambahan pula, spoiler belakang diaktifkan secara elektrik serta diffuser berongga membantu meningkatkan downforce apabila diperlukan, sekali gus memastikan kestabilan pada kelajuan tinggi.
Masuk ke ruang kabin, pendekatan minimalis menjadi fokus utama. Interior Formula X direka sepenuhnya berorientasikan pemandu, dengan susun atur yang menyerupai kokpit kereta lumba. Antara ciri paling unik ialah stereng boleh lipat, yang bukan sahaja futuristik tetapi juga membantu memudahkan akses keluar masuk.
Selain itu, terdapat paparan skrin di bahagian tengah, manakala struktur dalaman turut menggunakan gentian karbon bagi mengekalkan berat yang rendah. Tiada elemen berlebihan dan semuanya direka dengan satu tujuan iaitu untuk menawarkan pengalaman pemanduan maksimum.

Walaupun masih berstatus konsep, Formula X sebenarnya sudah hampir kepada versi produksi. Menurut laporan, sehingga 80% reka bentuk konsep ini akan dikekalkan apabila ia memasuki fasa pengeluaran sebenar. BYD dijangka melancarkan model ini sekitar tahun 2027, walaupun spesifikasi penuh termasuk sistem trenkuasa masih belum didedahkan setakat ini.
Kemunculan Formula X menunjukkan bahawa BYD kini berada pada fasa transformasi yang lebih besar. Daripada sekadar pengeluar EV arus perdana, syarikat ini kini sedang membina ekosistem jenama yang lengkap. Selain BYD untuk pasaran massa, mereka turut mempunyai Denza bagi segmen premium, Yangwang untuk prestasi ultra tinggi, dan Fang Cheng Bao sebagai platform eksperimen serta model ekstrem.
Jika Formula X benar-benar memasuki produksi seperti yang dirancang, ia bukan sahaja akan menjadi simbol keupayaan teknologi BYD, tetapi juga bukti bahawa dominasi jenama Barat dalam dunia supercar mungkin tidak lagi kebal seperti dahulu.




