am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seorang perunding berputih mata apabila kerugian RM210,000 selepas akaun mata wang kriptonya digodam susulan berkongsi kod pengesahan kepada individu tidak dikenali melalui platform dalam talian pada 21 April lalu.
Lelaki berusia 49 tahun itu mendakwa dihubungi individu menggunakan nama samaran ‘Bosaurum’ yang menyamar sebagai kakitangan sokongan pelanggan bagi sebuah laman web yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, mangsa menerima mesej daripada individu berkenaan ketika menggunakan sebuah portal untuk laman web itu ketika di pejabatnya di Jalan Sri Hartamas di sini yang menawarkan bantuan teknikal untuk pemberian insentif.
Menurutnya, individu berkenaan meminta mangsa memberi alamat akaun beserta kod pengesahan yang dihantar ke emailnya.
“Mangsa beranggapan maklumat itu untuk penerimaan insentif namun selepas maklumat diberikan suspek mengambil alih akaun mangsa sebelum mendapati dananya berkurang kira-kira USD 47,060 (RM210,000),” katanya di sini, hari ini.
Katanya, sebahagian besar wang itu didapati masih berada dalam jaringan akaun pihak ketiga dan boleh dibekukan jika tindakan diambil dengan segera.
“Kita menjalankan siasatan kes mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan akan mengesan pemilik akaun terbabit selain pemilik e-wallet (dompet digital) dengan akan mendapatkan bantuan Unit Cyptocurrency,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




