amir_hamid@mediaprima.com.my
DEPRESI, fitnah dan kehilangan kerjaya pernah meranapkan hidupnya.
Bangkit semula, diuji lagi apabila isteri disahkan menghidap barah tahap tiga.
Pernah berada di puncak kerjaya, kemudian jatuh hingga hilang arah dan diri sendiri.
Namun, Mohd Kushairi Che Ismail, 41, terus bersyukur kerana yakin dengan janji serta aturan-Nya.
Itulah perjalanan hidup Mohd Kushairi yang kini berdiri teguh sebagai perunding motivasi dan penulis sepenuh masa, membawa kisah jatuh bangunnya sebagai kekuatan untuk membantu orang lain.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu bukan asing dalam dunia pendidikan.
Bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Falahiah, Pasir Pekan di negeri kelahiran, sebelum melanjutkan pengajian dan lulus Pendidikan Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Saya anak sulung daripada enam beradik. Bapa, Che Ismail Che Sulaiman, berusia 68 tahun, dan ibu, Norhasimah Che Mamat, berusia 60 tahun, adalah kunci kebangkitan dan pendorong hidup saya,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai guru di Jempol, Negeri Sembilan.
Ketika masih bergelar guru, dia bukan sekadar menjadi pendidik, malah menjadi tempat pelajar mengadu sehingga diberi gelaran ‘Walid’.
“Saya sangat rapat dengan pelajar. Hubungan itu bukan sekadar mengajar, tetapi membina kepercayaan dan kasih sayang,” katanya.
Minatnya dalam dunia motivasi sebenarnya bermula sejak di bangku universiti apabila aktif sebagai fasilitator program pembangunan insan.
Peluang dalam dunia penyiaran juga membuka ruang lebih luas apabila Mohd Kushairi pernah muncul sebagai panel jemputan di TV9 serta pengacara sambilan di beberapa rangkaian televisyen.
Namun, di sebalik perjalanan yang kelihatan lancar, hidupnya berubah secara drastik.
Tawaran bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah kolej swasta di Selangor menjadi titik penting dalam kerjayanya.
Namun, kebahagiaan itu tidak bertahan lama apabila dia diuji dengan dugaan berat yang datang serentak.
“Saya hilang kerjaya, kedudukan, pendapatan dan maruah diri akibat fitnah. Waktu itu, saya benar-benar hilang arah,” katanya jujur.
Lebih perit, Mohd Kushairi bergelut dengan depresi dan trauma menyebabkannya takut untuk berhadapan dengan orang ramai.
“Bukan sahaja saya hilang kepercayaan terhadap orang lain, tetapi juga kepada diri sendiri,” katanya sebelum dia memilih untuk ‘menghilang’ seketika.
Tanpa kerjaya dan arah tuju, Mohd Kushairi berkata, dia lebih banyak mengisi masa di rumah menjadi ‘Mr Mama’ kepada tiga anak lelakinya.
Adam Baihaqi, 14, Amsyar Rayyan, 12, dan Aisy Zafran, 7, antara sumber kekuatan utamanya untuk terus bertahan.
“Saya pertautkan hubungan dengan anak-anak. Saya belajar memasak, buat kerja dari rumah dan menulis,” katanya.
Fasa itu menjadi titik pemulihan diri yang diakui berlangsung perlahan, tetapi sangat bermakna.
Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, dia mengambil peluang untuk membina semula diri daripada bawah.
“Saya muhasabah, belajar semula asas agama walaupun saya seorang ustaz. Saya bermula daripada kosong,” katanya.
Langkah demi langkah disusun untuk bangkit dalam kehidupan yang pernah runtuh.
“Saya memang pernah jatuh berkali-kali, tetapi setiap kali itu juga saya belajar untuk bangkit,” katanya.
Segala pengalaman pahit yang dilalui tidak disimpan sendiri, sebaliknya dijadikan kekuatan untuk membantu orang lain.
Kini, beliau aktif sebagai penceramah motivasi dan sudah menghasilkan hampir lapan buku termasuk novel remaja, ‘Hidup Mesti Terus’.
“Semua pengalaman jatuh bangun itu saya jadikan pengisian dalam ceramah dan penulisan,” katanya.
Ketika dirinya kembali stabil, satu lagi ujian besar datang apabila isterinya, Suhana Othman, 40, yang bekerja sebagai guru biologi, disahkan menghidap barah usus tahap tiga.
“Tidak disangka, sewaktu saya mula sembuh daripada luka dalam, saya terima lagi satu ujian besar, isteri disahkan menghidap barah usus tahap tiga.
“Isteri perlu jalani pembedahan selain bercuti. Bukan satu perkara mudah bagi diri yang juga pejuang depresi untuk bergelut keluar daripada tekanan ini, semata-mata mahu menjaga pesakit barah.
“Namun, daripada situ, saya dapat belajar bagaimana menyantuni emosi pesakit barah. Saya mahu dampingi isteri, bawanya ke hospital untuk pembedahan, kemoterapi, temu janji pakar dan uruskan anak-anak,” katanya.
Jelas, itulah antara hikmah dia bekerja sendiri apabila boleh menyusun jadual, urus hal rumah dan kerjaya. Begitulah indah aturan Allah SWT.
Katanya, dia percaya, di sebalik ujian besar yang menimpa diri, pujuklah hati dan jadikan ia sumber kekuatan melalui fasa ujian itu dengan sabar, syukur dan ikhlas yang mana itulah tiga kunci utama supaya dapat mengharungi ujian demi ujian dalam keadaan tenang meskipun dalam tekanan.
“Yakinlah, selepas hujan ribut taufan, pasti ada pelangi indah menanti kita. Percaya pada takdir Allah SWT. Tiada yang sia-sia. Allah Maha Baik.
“Dulu, saya selalu sembunyikan diri, mengelak dan lari daripada ujian. Kini, saya hadapi ujian dengan tenang dan berani. Ujian bukan batu penghalang tetapi sebagai batu loncatan.
“Setiap ujian yang hadir sebelum ini, jatuh berkali-kali termasuk ujian isteri sakit kanser, saya percaya, ia akan membentuk diri saya yang lebih matang, lebih faham dan dan lebih berdaya tahan,” katanya.
Berkongsi bagaimana semangat dan kekuatan itu hadir, Mohd Kushairi berpegang kepada lima prinsip:
1. Jaga hati dan keramat doa seorang ibu.
2. Belajar sembuh daripada luka dan bangkit daripada ujian melalui terapi solat dan tadabbur al-Quran.
3. Jangan pernah rasa kita keseorangan atau seorang diri. Kita ada Allah.
4. Tahajud sumber kekuatan rohani, kebangkitan dari dalam. ‘Me-time’ yang paling mahal.
5. Percaya pada potensi diri, Allah SWT beri kelebihan kepada kita. Malah, setiap daripada kita ada ujian masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




