amir_hamid@mediaprima.com.my
Trend memelihara haiwan eksotik seperti sugar glider, reptilia unik dan mamalia kecil kian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Namun, di sebalik keunikan spesies ini, terdapat cabaran pengurusan yang sering dipandang remeh sehingga mencetuskan konflik kejiranan iaitu isu bau.
Memelihara haiwan eksotik bukan sekadar gaya hidup atau kandungan media sosial. Ia adalah satu disiplin mikrobiologi.
Di Malaysia, hobi ini berdepan dengan cabaran paling besar iaitu isu bau dan sanitasi yang sering menjadi punca konflik kejiranan serta pengabaian haiwan.
Berdasarkan hantaran di Facebook (FB) komuniti ‘Exotic Lovers Malaysia’ (ExoMy), didedahkan realiti pahit bahawa ramai pemilik haiwan eksotik menghadapi kegagalan dalam penjagaan ‘pets’ mereka kerana tidak memahami kaitan antara iklim tropika dan biologi haiwan itu sendiri.
Menurut ExoMy, suhu purata Malaysia di antara 28 hingga 34 darjah celsius dengan kelembapan tinggi mencecah 95 peratus adalah pemangkin kepada pembiakan bakteria yang luar biasa pantas.
Secara saintifik, sisa organik seperti najis dan baki makanan, mereput lebih cepat dalam keadaan lembap.
Bau yang mungkin ‘boleh diterima’ di negara beriklim sejuk namun di Malaysia, dalam tempoh hanya beberapa jam sahaja, ia boleh bertukar menjadi bau yang sangat menyengat.
Ini bukan soal hidung sensitif, tetapi fakta sains mikrobiologi mendapati, kelembapan menghalang pengeringan semula jadi, menyebabkan ammonia daripada urin menjadi lebih pekat.
ExoMy menegaskan, ramai menganggap reptilia seperti ‘Ball Python’ atau ‘Bearded Dragon’ adalah haiwan ‘bebas bau’, namun hakikatnya anggapan itu adalah mitos.
Najis reptilia mengandungi asid urik yang jika digabungkan dengan substrat lembap dan ventilasi buruk, akan menghasilkan bau masam akan turut melekat ‘aroma tengiknya’ pada dinding dan perabot.
Fakta ini disokong oleh doktor perubatan veterinar, Dr Jennifer Coates, melalui portal veterinar PetMD.
Beliau menjelaskan bahawa pengumpulan gas ammonia dalam kandang atau mana-mana tempat jagaan bukan sahaja mengganggu manusia, malah boleh menyebabkan iritasi membran mukus dan jangkitan pernafasan kronik pada haiwan tersebut.
Kategori mamalia seperti sugar glider, rakun dan rubah adalah antara bau tahap cabaran tertinggi.
Mengikut rujukan daripada ‘Pocket Pet Central’, mamalia eksotik mempunyai kelenjar bau (scent glands) khusus untuk menanda kawasan.
Urin mamalia adalah tinggi dengan ammonia yang boleh meresap ke dalam lantai simen atau kayu jika tidak diuruskan dengan sistem profesional.
Begitu juga dengan burung eksotik, sisa makanan yang terfermentasi dalam cuaca panas bukan sahaja berbau, malah menarik kehadiran lalat dan risiko penyakit zoonotik seperti Salmonella.
Kesilapan lazim pemilik haiwan eksotik adalah menggunakan penyembur wangian untuk menutup bau busuk.
Hasil penyelidikan oleh juruteknik veterinar berdaftar (RVT) dan berlesen (LVT) disiarkan dalam ‘The Spruce Pets’ memberi amaran bahawa bahan kimia wangian (masking agents) bersifat toksik kepada sistem pernafasan haiwan eksotik secara halus.
Penyelesaian yang dicadangkan oleh ExoMy dan disokong pakar adalah penggunaan pembersih ‘berenzim’ (enzymatic cleaners).
Enzim ini berfungsi secara biokimia untuk memecahkan molekul ammonia dan asid urik pada punca, bukannya sekadar menutup bau tersebut.
“Jika anda belum bersedia mengurus bau dan sanitasi dalam iklim tropika Malaysia, anda belum bersedia untuk memelihara haiwan eksotik,” tegas ExoMy dengan prinsip ‘Berhobi dengan Selamat dan Berilmu’ sebagai moto utama.
Dengan nada peringatan, ExoMy berkata, sebarang sikap tidak bertanggungjawab pemilik haiwan eksotik bukan sahaja menjejaskan hubungan dengan jiran, malah merosakkan reputasi seluruh komuniti hobi eksotik di Malaysia.
Minat terhadap haiwan eksotik harus datang dengan komitmen ilmu yang matang. Memahami sains di sebalik bau dan impak iklim Malaysia bukan sahaja menjamin kesejahteraan haiwan, malah mengekalkan keharmonian komuniti.
Seperti kata ExoMy, ‘Ilmu tanpa disiplin tidak bermakna’.
INFO
Berdasarkan semakan silang dokumen veterinar dan data komuniti, berikut adalah langkah tuntas pengurusan bau:
Pengurusan sampah bertutup rapat dan pembersihan segera (spot cleaning) adalah mandatori, bukan pilihan.
Gunakan teknik ‘double bagging’ dan tong sampah bertutup rapat di luar kediaman.
Pembersihan segera: Najis wajib dibuang serta-merta, jangan biarkan semalaman.
Audit Ventilasi: Pastikan aliran udara lancar untuk mencegah pengumpulan gas ammonia (Rujukan: PetMD).
Aplikasi Enzim: Gunakan pencuci tanpa toksik yang memecah asid urik (Rujukan: The Spruce Pets).
Kawalan Microclimate: Gunakan penyerap lembapan (dehumidifier) jika memelihara haiwan dalam bilik berhawa dingin (Rujukan: ExoMy).
Penjagaan haiwan eksotik adalah satu cabang sains yang memerlukan pemahaman mendalam.
Dengan merujuk kepada sumber rujukan sahih dan mengadaptasikannya dengan iklim Malaysia, pemilik bukan sahaja dapat mengekalkan keharmonian dengan jiran, malah menjamin kesejahteraan haiwan kesayangan mereka secara holistik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




