PETALING JAYA: Nestlé Malaysia Berhad (Nestlé Malaysia) memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi kukuh apabila mencatatkan jualan sebanyak RM1.88 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac lalu.
Pencapaian itu mewakili peningkatan 6.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan mantap jualan domestik sebanyak 7.4 peratus serta sumbangan pasaran eksport yang meningkat 2.5 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, syarikat turut merekodkan Untung Sebelum Cukai sebanyak RM271.9 juta, manakala Untung Selepas Cukai mencecah RM205.1 juta.
“Permulaan tahun yang mantap ini mencerminkan daya tahan perniagaan dan kekuatan jenama kami. Di sebalik ketidaktentuan global, kami terus memberi tumpuan kepada kesinambungan operasi dan menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
“Peningkatan keuntungan ini diterajui oleh pelaksanaan komersial yang teguh sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina serta Ramadan dan Aidilfitri, selain pengurusan kos yang berdisiplin serta penyusutan harga komoditi utama seperti kopi dan koko,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Juan, Nestlé Malaysia yang telah bertapak di negara ini sejak 1912 kekal komited menyediakan rangkaian produk bersijil Halal paling luas yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia untuk pasaran tempatan.
Selain prestasi kewangan, syarikat turut memperkukuh ekosistem rantaian nilai melalui program Farmer Connect yang melibatkan bahan mentah seperti cili, padi, kopi dan koko bagi meningkatkan pendapatan komuniti perladangan.
“Sepanjang suku pertama juga, kami telah memperluas inisiatif bantuan Ramadan dengan mengagihkan pek bantuan makanan kepada lebih 300,000 rakyat Malaysia melalui kerjasama pihak berkepentingan,” katanya.
Mengenai prospek bagi tahun 2026, Juan mengakui persekitaran luaran masih dibelenggu ketidakstabilan, namun yakin terhadap kekuatan asas syarikat untuk terus mencatatkan keputusan kewangan yang mantap.
“Kami akan memastikan jenama kami kekal relevan dan mudah didapati melalui pengurusan kos berdisiplin bagi meletakkan syarikat pada kedudukan kukuh untuk pertumbuhan mampan jangka panjang,” katanya. – UTUSAN




