Isu '86 47': Bekas pengarah FBI didakwa ancam Trump

Isu '86 47': Bekas pengarah FBI didakwa ancam Trump

Washington: Bekas pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), James Comey didakwa kerana mengancam nyawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, kata pegawai pada Selasa, lima bulan selepas kes terdahulu terhadap pengkritik lantang presiden AS itu digugurkan.

Dakwaan oleh juri besar di Carolina Utara itu berpunca daripada satu hantaran Instagram yang dibuat Comey, 65, pada Mei tahun lalu yang memaparkan nombor ’86 47′ disusun menggunakan kulit kerang.

Trump mendakwa, dalam temu bual dengan Fox News bahawa ’86’ adalah slanga untuk membunuh dan ’47’ merujuk kepada dirinya sebagai presiden ke-47.

Bagaimanapun, Comey menolak tuduhan itu dan berikrar untuk melawannya.

Beliau berkata, hantaran itu hanya gambar kulit kerang di pantai Carolina Utara setahun lalu.

“Saya masih tidak bersalah, saya masih tidak takut dan saya masih percaya kepada badan kehakiman persekutuan yang bebas, jadi teruskan,” katanya.

Dakwaan itu menyatakan rujukan ’86 47′ adalah ungkapan serius niat untuk mencederakan presiden AS.

Sementara itu, Pemangku Peguam Negara, Todd Blanche berkata, Comey berdepan dua pertuduhan termasuk membuat ancaman untuk mengambil nyawa presiden.

Difahamkan, setiap pertuduhan membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara.

Comey sebelum ini memohon maaf dan berkata, beliau tidak menyedari nombor itu dikaitkan dengan keganasan.

Dakwaan itu dibuat tiga hari selepas seorang lelaki bersenjata ditahan kerana didakwa cuba membunuh Trump semasa majlis makan malam anjuran Persatuan Koresponden Rumah Putih.

Sementara itu, Senator Demokrat, Dick Durbin menyifatkan, dakwaan itu sebagai tidak berasas dan tindakan balas kecil.

Comey dilantik oleh Barack Obama pada 2013 sebelum dipecat Trump pada 2017.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top