firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon enggan mengangkat bendera putih dalam perebutan kelompok teratas Liga Super, sebaliknya terus menyimpan keyakinan tinggi untuk memburu tiket ke pentas Asia musim depan.
Walaupun misi itu dilihat semakin mencabar, terutama dengan tekanan daripada Kuching City FC yang memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan, jurulatih dari Korea Selatan itu menegaskan perjuangan belum berakhir.
Menurutnya, skuad Red Giants tetap meletakkan sasaran memburu kedudukan kedua liga, sekali gus membuka laluan ke saingan peringkat Asia musim depan.
“Ini yang kami mahukan hingga penghujung, kami mahu bersaing untuk kedudukan kedua jadi harapan agar kami dapat lakukan sebaiknya,” katanya.
Pan-gon menegaskan dalam bola sepak, segala kemungkinan boleh berlaku dan situasi itu memberi motivasi tambahan buat anak buahnya untuk terus konsisten hingga ke penamat musim.
“Di mana apa pun boleh berlaku buat pesaing lain. Jadi kami akan usahakan sebaik mungkin dan laksanakan tugas dengan sebaiknya,” katanya lagi.
Bekas pengendali skuad kebangsaan itu turut percaya mentaliti tidak mudah mengalah menjadi kunci utama buat Selangor untuk terus kekal dalam perebutan sengit itu.
Malah, beliau mahu barisan pemainnya kekal fokus dalam setiap baki perlawanan dan tidak terlalu memikirkan kedudukan pesaing lain, sebaliknya menumpukan sepenuhnya kepada prestasi sendiri.
Selangor dijadual turun menentang Penang FC dalam aksi Liga Super Sabtu ini yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, dengan misi tiga mata menjadi keutamaan skuad Merah Kuning.
Hanya juara dan naib juara Liga Super bakal meraih tiket ke Asia di mana Johor Darul Ta’zim (JDT) yang sudah mengesahkan kejuaraan akan beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), manakala naib juara akan menerima tiket ke ACL II musim depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




