Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS, diniaga bercampur-campur berbanding rakan serantau

Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS, diniaga bercampur-campur berbanding rakan serantau

RINGGIT dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) namun diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang lain pada awal urus niaga hari ini, susulan sentimen berhati-hati terhadap turun naikharga minyak serta perkembangan di Selat Hormuz, kata seorang penganalisis.

Pada 8.03 pagi, mata wang tempatan itu berada pada paras 3.9475/9540 berbanding dolar AS pada paras 3.9505/9550 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka diniagakan dalam julat sempit berikutan peserta pasaran menunggu petunjuk lebih jelas mengenai situasi di Selat Hormuz.

Ketika ini, harga minyak kekal tidak menentu susulan pengunduran Emiriah Arab Bersatu daripada pakatan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Sementara itu, West Texas Intermediate (WTI) susut 0.83 peratus kepada AS$99.10 setong, manakala minyak mentah Brent merosot 0.59 peratus kepada AS$110.60 setong.

“Berita pengunduran UAE daripada OPEC pada Mei selepas menganggotainya lebih enam dekad dijangka mengubah landskap industri minyak dan gas. Negara itu bebas menentukan tahap pengeluaran selaras dengan pelaburannya dalam sektor berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, pada masa ini tumpuan terarah kepada pengurangan bekalan susulan perang di Iran yang menjejaskan aliran minyak dan gas melalui Selat Hormuz, kata beliau.

Mohd Afzanizam berkata, data AS menunjukkan Indeks Keyakinan Pengguna oleh Conference Board meningkat kepada 92.8 pada April susulan gencatan senjata dalam konflik Iran.

Namun, beliau berkata, jangkaan kemelesetan ekonomi AS dalam tempoh 12 bulan akan datang meningkat, manakala rancangan pembelian barangan bernilai tinggi semakin berkurangan.

“Keputusan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) malam ini akan diteliti bagi mendapatkan petunjuk sama ada penggubal dasar semakin berhati-hati terhadap prospek pertumbuhan dalam persekitaran inflasi yang lebih tinggi,” katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4740/4782 daripada 2.4756/4785 pada Selasa, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.3394/3482 daripada 5.3292/3353, serta turun berbanding euro kepada 4.6261/6337 daripada 4.6189/6242.

Mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0937/0990 daripada 3.0943/0983 ketika ditutup pada Selasa dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.1484/1759 daripada 12.1494/1685.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 228.9/229.4 dan stabil berbanding peso Filipina pada 6.44/6.45 daripada 6.44/6.46. – Bernama

 

 

 

Scroll to Top