Harga petrol AS catat paras tertinggi sejak perang Iran bermula

Harga petrol AS catat paras tertinggi sejak perang Iran bermula

WASHINGTON – Harga petrol di Amerika Syarikat (AS) meningkat ke paras tertinggi sejak perang dengan Iran bermula, ketika tiada tanda perjanjian damai akan dicapai, menurut Persatuan Automobil Amerika (AAA) pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Rakyat AS membayar purata AS$4.18 segelen (3.785 liter) pada Selasa. 

Kali terakhir harga berada pada paras hampir sama ialah kira-kira empat tahun lalu, selepas Rusia melancarkan perang terhadap Ukraine.

Pada awal perang Iran pada hujung Februari, harga purata petrol ialah AS$2.98 segelen. Sejak itu, harga meningkat kira-kira 40 peratus.

Kenaikan itu turut dikaitkan dengan sekatan di Selat Hormuz, antara laluan utama perdagangan minyak global. 

Sejak pertempuran bermula pada hujung Februari, trafik perkapalan yang melalui selat itu hampir terhenti sepenuhnya.

Walaupun eksport minyak dari negara Teluk kebanyakannya menuju ke negara Asia Timur seperti China dan Jepun, harga komoditi meningkat di seluruh dunia, sekali gus memberi kesan kepada pengguna di seluruh dunia.

Rakyat AS masih membayar harga petrol yang lebih rendah, jika dibandingkan dengan negara Eropah seperti Jerman.

Selepas ditukar kepada liter dan euro, harga petrol semasa di AS adalah kira-kira €0.94 seliter, berbanding lebih €2 di stesen minyak di Jerman.

AS mengenakan cukai dan duti bahan api yang lebih rendah bagi setiap liter, selain mempunyai rizab minyak domestik yang besar.

Kenaikan harga itu menjadi tekanan politik kepada kerajaan AS kerana Presiden Donald Trump pernah berjanji semasa kempen pilihan raya untuk mengurangkan harga tenaga di negara itu kepada separuh.

Dengan kira-kira enam bulan sebelum pilihan raya pertengahan penggal Kongres, sasaran itu masih jauh untuk dicapai.

Kerajaan menyifatkan kenaikan itu hanya sementara. 

Bagaimanapun, Pentadbiran Maklumat Tenaga AS berkata, trafik perkapalan mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk kembali normal, walaupun selepas Selat Hormuz dibuka semula. – Bernama-dpa

 

 

 

 

 

 

Scroll to Top