Siti Khadijah berang jadi mangsa fitnah, nekad mahu saman

Siti Khadijah berang jadi mangsa fitnah, nekad mahu saman

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Insya-Allah, saya cari awak dan saman awak,” itu amaran pelakon, Siti Khadijah Halim apabila hilang sabar selepas namanya dikaitkan dengan hantaran berbaur fitnah dan suntingan foto yang mencemarkan imejnya.

Menerusi hantarannya di Instagram Story, semalam, Siti Khadijah, 29, menyatakan hasrat mahu mengambil tindakan undang-undang bagi memastikan individu tidak bertanggungjawab itu menerima hukuman setimpal.

“Saya nak ambil tindakan yang betul-betul. Bukan setakat laporan polis, tapi tiada hasil. Boleh tak sesiapa beritahu Siti macam mana nak pastikan mereka ini kena hukuman setimpal?” tulisnya.

Sementara itu, pelakon drama Dia Yang Ku Cinta ini turut meluahkan rasa kesal apabila terpaksa melayan karenah pelik netizen yang membuang masanya sedangkan fokus utamanya hanyalah untuk bekerja dan mencari rezeki.

“Boleh tak lain kali tolong jangan libatkan Siti dalam benda-benda ‘bodoh’ macam itu? Saya malas betul buang masa fikir benda macam ini sebab terang-terang itu bukan saya. Saya takkan buat pun. Dalam otak ini nak kerja, kumpul duit untuk hari tua sahaja.

“Tak ada masa nak fikir pasal ‘edit’ itu, ini. Orang cakap belakang ke apa ke, terpulang, janji awak bahagia. Tapi sekarang saya terpaksa fikir sebab awak salah buat percaturan. Ganggu saya,” tulisnya lagi.

Terdahulu, tular satu hantaran di Threads memaparkan foto wanita mirip pelakon itu bersama seorang lelaki dengan kapsyen mendakwa kononnya dia cuba mengganggu tunangan orang.

Enggan membiarkan maruah dipijak, Siti Khadijah kini meminta panduan daripada pengikutnya di Instagram mengenai prosedur perundangan yang lebih efektif bagi memberi pengajaran kepada individu terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top