Dubai: Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menarik diri daripada kartel minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan OPEC+ untuk memberi tumpuan kepada kepentingan negara, menurut pengumuman pada Selasa, sekali gus mencetuskan kejutan baharu ketika harga tenaga melonjak susulan perang Asia Barat.
Menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi, WAM, UAE, salah satu pengeluar minyak utama dunia yang sebelum ini tidak berpuas hati dengan kuota pengeluaran OPEC, akan menarik diri pada Jumaat.
UAE menjadi anggota OPEC melalui Abu Dhabi sejak 1967, empat tahun sebelum bekas wilayah naungan United Kingdom (UK) itu menjadi sebuah negara.
Angola adalah anggota terakhir yang menarik diri daripada pertubuhan itu pada 2024.
Dalam pada itu, kenyataan UAE menyebut keputusan itu mencerminkan visi strategik dan ekonomi jangka panjang serta profil tenaga yang semakin berkembang.
Sementara itu, kata penganalisis, keputusan itu, di tengah-tengah kejutan minyak terbesar sejak 1970-an, dijangka melemahkan OPEC yang didominasi jiran dan pesaing UAE, Arab Saudi, sekali gus menandakan pergolakan lanjut dalam pasaran, kata penganalisis.
Penghantaran minyak Teluk ketika ini terjejas akibat sekatan Iran di Selat Hormuz.
Bagaimanapun, kata sumber yang rapat dengan kementerian tenaga kepada AFP, memandangkan sekatan ke atas penghantaran minyak di selat itu, UAE tidak mahu terikat dengan kuota apabila keadaan kembali normal.
UAE turut berdepan masalah hubungan dengan Arab Saudi susulan konflik di Yaman.
Sebelum perang, UAE adalah pengeluar keempat terbesar dalam OPEC+ di belakang Arab Saudi, Rusia dan Iraq.
Seorang lagi penganalisis, Jorge Leon berkata, penarikan diri itu mungkin tidak memberi kesan segera kepada pasaran minyak selagi penghantaran di Hormuz masih terhenti.
Namun, UAE kini bebas meningkatkan pengeluaran, menimbulkan persoalan lebih luas mengenai kelestarian peranan Arab Saudi sebagai penstabil utama pasaran.
Difahamkan, ia menunjukkan potensi pasaran minyak yang lebih tidak menentu apabila keupayaan OPEC untuk mengimbangi ketidakseimbangan bekalan semakin berkurangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



