Pelakon senior, Datuk Rosyam Nor menegaskan tanggapan segelintir pihak yang melabel rakan selebriti sebagai sombong hanya berpunca daripada salah faham serta penilaian terlalu cepat berdasarkan pertemuan singkat.
Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin, 59, berkata, artis juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada tekanan dan emosi harian, sekali gus tidak wajar dihukum hanya kerana sikap mereka pada satu-satu masa.
“Kita tak boleh ‘judge’ artis sombong bila jumpa sekali. Mungkin masa itu dia penat, takkan nak tersenyum sepanjang masa atau mungkin karakter dia sebegitu tapi tak bermakna dia sombong.
“Macam saya nampak garang. Ada masa saya berjalan dengan muka berkerut. Jadi takkan nak cakap saya sombong. Kita kena faham keadaan, ada masa penat. Mungkin juga dia ada masalah, tiada duit, isu keluarga yang buatkan dia kusut.
“Tapi kalau awak tegur dulu, dia okey sahaja. Tidaklah nak tunggu artis itu tersengih pada semua orang. Nanti ada yang cakap ingat ada orang kenal kau ke?” katanya, semalam.


Menurut Rosyam, kecaman atau label negatif terhadap selebriti di media sosial seperti Threads yang menyenaraikan beberapa artis kononnya sombong terhadap peminat adalah tidak adil dan boleh menjejaskan reputasi individu terbabit.
Mengulas lanjut, aktor versatil itu turut menegaskan hubungan baik dengan peminat adalah asas utama dalam kerjaya seni kerana mereka menjadi tulang belakang kejayaan seseorang artis.
“Kalau orang datang nak bergambar, saya santuni. Siapa artis tanpa peminat? Peminat yang bergambar, akan kongsi gambar itu dengan keluarga atau rakannya.
“Secara tidak langsung mereka seperti ‘rakan promosi’ buat kami iaitu pekerja seni. Itu sebenarnya yang membantu melonjakkan kerjaya kita,” ujarnya.
Sementara itu, Rosyam turut berkongsi mengenai filem Pewaris Susuk yang bakal menemui penonton 30 April ini, dan mengakui kini lebih mementingkan kepuasan berkarya berbanding soal bayaran.
“Ketika diajukan tawaran ini mereka kata bajet kecil, tapi saya baca dahulu skripnya. Sangat menarik, kisah yang sarat emosi, pengajaran dan plot twist tidak disangka.
“Itu yang buat saya tertarik. Sekarang saya cari karya yang bagi kepuasan buat diri sendiri dan penonton pun puas dengan lakonan saya.
“Apabila kita nampak keistimewaan plot, bukan soal bajet besar atau kecil kerana hasilnya sangat berbaloi ditambah semua pelakon ‘memberi’,”ujar beliau.
Artikel lain: Tak perlu bermegah, Iqram Dinzly tegur pelakon baharu – “Jangan jadi pelac*r dalam industri seni”
Selain Rosyam, filem seram itu turut dibintangi Che Puan Sarimah Ibrahim, Alya Iman, Abon, Trisha Ooi, Sherie Merlis, Hairie Othman dan Aliza Shahdan.






