
Tunku Mahkota Ismail ketika hadir pada sesi perbincangan meja bulat pada Rabu.
[DIKEMAS KINI] PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail tampil mencadangkan satu model baharu bagi menyelamatkan masa depan industri bola sepak negara.
Menerusi cadangan tersebut, baginda menekankan model berkonsepkan terus kepada peminat sebagai jalan penyelesaian terbaik kepada kelab-kelab dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Baginda turut memberikan kertas cadangan model tersebut kepada semua wakil kelab untuk penelitian sama ada ingin menerima atau tidak cadangan itu.
“Kalau awak semua nak cakap pasal penyelesaian, saya ada penyelesaian bagaimana untuk menyelamatkan liga. Saya rasa semua boleh lihat sendiri fail (cadangan) tersebut dan selepas itu buatlah keputusan apa yang patut.
“Tidak semestinya awak kena setuju kerana ini adalah satu cadangan. Ini adalah mengenai model yang terus kepada peminat,” titah baginda dalam sesi meja bulat bersama kelab Liga Malaysia yang dianjurkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Rabu.
Tegas baginda lagi, langkah itu juga secara tidak langsung menyahut cabaran pihak yang sering melaungkan slogan untuk memulangkan bola sepak kepada rakyat.
“Ia akan menghasilkan ‘financial independence’ untuk masa depan. Nak sangat bagi bola dekat rakyat, jom kita bagi bola dekat rakyat. Jadi selepas ini tidak ada lagi alasan,” titah baginda lagi.
Isu kelestarian kewangan kelab-kelab Liga-M sering menjadi perdebatan hangat dalam arena bola sepak tempatan berikutan masalah tunggakan gaji dan kewangan yang masih menghantui beberapa pasukan.
Justeru, perbincangan meja bulat tersebut diadakan dalam usaha mencari cara dalam memastikan saingan liga dapat ditambah baik musim depan.



