Arif Aiman dikaitkan dengan kelab Kashiwa Reysol

Arif Aiman dikaitkan dengan kelab Kashiwa Reysol

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala LumpurL Walaupun masih belum kembali beraksi akibat kecederaan, nama bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi kembali hangat apabila dikaitkan dengan perpindahan ke Jepun.

Perkara itu timbul selepas laporan laman Instagram Seasiagoal yang mendakwa pemain sayap itu sedang dipantau kelab Kashiwa Reysol.

Pada masa sama, pemain muda Vietnam, Nguyen Dinh Bac turut dikaitkan dengan Vissel Kobe.

Menurut laporan itu, kedua-dua pemain Asia Tenggara berkenaan berpotensi beraksi dalam J1 League.

“Arif Aiman dipantau Kashiwa Reysol yang mencari pemain sayap pantas, manakala Nguyen Dinh Bac dikaitkan dengan Vissel Kobe untuk memperkuat serangan.

“Jika menjadi kenyataan, dua pemain ini mungkin bertembung di liga utama Jepun,” menurut laporan itu.

Ini bukan kali pertama Arif Aiman dikaitkan dengan kelab luar negara apabila sebelum ini beberapa pasukan dari Korea Selatan dan Iran turut dilaporkan berminat.

Namun, pemain berusia 24 tahun itu masih dalam proses pemulihan selepas cedera ketika bersama Harimau Malaya menentang Nepal, 18 November lalu.

Dia turut menjalani pembedahan hamstring di Finland bersama pakar perubatan sukan, Lempainen Lasse dan belum beraksi bersama JDT.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top