PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail menyelar tindakan segelintir pihak yang sering menjadikan mutu pengadilan sebagai ‘kambing hitam’ setiap kali mengalami kekalahan dalam perlawanan bola sepak.
Baginda yang juga pemangku Sultan Johor menegaskan bahawa pihak-pihak tertentu gemar bermain dengan persepsi negatif terhadap pengadil bagi menutup kelemahan sendiri.
“Bila kalah saja senang cuci tangan, salahkan pengadil. Awak boleh pergi tanya sendiri menteri KBS (Kementerian Belia dan Sukan).
“Saya sudah mencadangkan kepada beliau, malah sejak awal beliau dilantik, supaya menggunakan khidmat pengadil asing dalam sukan ragbi, bola jaring dan sebagainya selain perlawanan-perlawanan besar seperti suku akhir, separuh akhir dan final,” titah baginda dalam sesi meja bulat bersama kelab Liga Malaysia yang dianjurkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Rabu.
Tunku Mahkota Ismail menjelaskan, cadangan membawa masuk pengadil luar bukanlah bertujuan untuk memperkecilkan kewibawaan pengadil tempatan, sebaliknya bagi mengelakkan ruang fitnah dan alasan remeh daripada pihak yang kalah.
“Dulu masa saya cadangkan, ada yang kata nanti pengadil tempatan kita kecil hati, seolah-olah kita memperkecilkan mereka. Ini bukan soal memperkecilkan mereka.
“Ini adalah untuk tidak memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menyalahkan pengadil apabila keputusan tidak memihak kepada mereka,” titah baginda.
Mengulas lanjut, baginda turut berkongsi pengalaman JDT yang tetap bersikap profesional walaupun berdepan keputusan pengadil yang meragukan di peringkat antarabangsa.
“Contohnya tahun lepas, kami (JDT) berjaya menyamakan kedudukan menentang Buriram tetapi gol itu dibatalkan dan kami kalah. Namun, tidak ada satu pun surat bantahan yang kami hantar kepada AFC.
“Apa yang telah berlaku, biarlah ia berlaku. Itulah cara yang sepatutnya (profesional),” titah baginda lagi.
Isu pengadilan sering menjadi pertikaian dalam saingan Liga Malaysia dengan ramai peminat yang mahukan kualiti pengadil ditambah baik.



