Kuala Lumpur: Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 terus diperkasakan sebagai platform industri media dalam mendepani cabaran era digital, khususnya melibatkan aspek kepercayaan serta lambakan maklumat tidak sahih.
Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata landskap media masa kini menuntut peranan lebih besar daripada pengamal industri, bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat tepat, tetapi juga menangkis penyebaran kandungan tidak benar.
“Cabaran utama kita hari ini adalah kandungan dalam media sosial yang terlalu banyak disalurkan, namun kebanyakannya tidak benar dan diputar belit.
“Beban inilah yang menghantui petugas kita termasuk wartawan untuk terus memantau bagi memastikan maklumat yang sampai kepada masyarakat adalah sahih dan diyakini,” katanya ketika menjadi tetamu program Fokus 30 bertajuk HAWANA 2026 dan Forum Media HAWANA 2026 terbitan Bernama Radio, di sini hari ini.
Nur-ul Afida berkata walaupun syarikat media arus perdana berpegang teguh kepada etika kewartawanan, kemunculan ramai “wartawan jadian” yang tidak mempunyai asas dalam mencari maklumat tepat menjadi cabaran besar kepada industri.
“Kita sering mengingatkan pihak di luar sana agar berhati-hati. Walaupun ada yang berperanan sebagai citizen journalist atau citizen reporter, selagi fakta tidak tepat dan sumber tidak sahih, ia akan membawa masalah.
“Akhirnya, pihak berkuasa dan agensi media juga yang perlu menjawab serta membetulkan fakta-fakta yang tidak tepat itu,” katanya.
Mengulas mengenai penganjuran sambutan HAWANA 2026, Nur-ul Afida yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 berkata pemilihan Pulau Pinang sebagai lokasi sambutan juga menjadi peluang terbaik untuk mempromosikan Malaysia kepada rakan media antarabangsa, khususnya dari negara-negara ASEAN yang akan turut dijemput.
“Saya melihat Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang kita tahu berada dengan pelbagai warna-warninya dari segi makanan, tempat-tempat menarik untuk pelancong dan sebagainya.
“Memandangkan kali ini kita ada perancangan untuk menjemput rakan-rakan dari negara-negara ASEAN, jadi saya melihat di sini peluang kita untuk memperkenalkan satu lagi negeri yang menarik untuk dikunjungi, iaitu Pulau Pinang kepada rakan-rakan media antarabangsa dan pemimpin syarikat media antarabangsa,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama strategik, Nur-ul Afida berkata sambutan kali ini bakal menyaksikan kelainan dengan penglibatan sulung Majlis Media Malaysia dalam platform HAWANA bagi memperkasakan profesion kewartawanan di negara ini.
“Majlis Media Malaysia membawa tanggungjawab besar dalam membantu pengamal media melaksanakan tugas secara profesional dan beretika, di samping menjaga kebajikan wartawan, penyunting dan editor,” katanya.
Beliau berkata penganjuran kali ini turut mendapat kerjasama agensi di bawah Kementerian Komunikasi, termasuk MyCreative Ventures (MyCV) bagi memeriahkan kemuncak HAWANA di Pulau Pinang menerusi pengisian program selama tiga hari yang merangkumi pelbagai aktiviti.
Sementara itu, Forum Media HAWANA 2026 yang bakal berlangsung pada 7 Mei akan menghimpunkan ketua-ketua media, pengamal industri, ahli akademik serta pelajar bagi membincangkan isu kritikal, termasuk kelangsungan media dalam situasi krisis, realiti profesion kewartawanan serta adaptasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
“Bagi edisi kali ini, kita mengambil pendekatan berbeza kerana faktor masa dan keperluan untuk mengelakkan program yang terlalu padat dalam satu hari. Sebab itu, kita mulakan dengan forum media dan ia diawalkan,” katanya.
Nur-ul Afida turut menegaskan keperluan untuk media membawa naratif yang membina serta memberikan manfaat kepada negara, dan tidak hanya menumpukan kepada isu negatif atau spekulatif.
“Kita tidak boleh melihat semua perkara dari sudut negatif. Sebagai wartawan yang bertanggungjawab, kita perlu memastikan naratif yang dibawa mampu membantu negara kekal aman, maju dan makmur,” katanya.
Beliau berkata sambutan HAWANA 2026 juga menampilkan acara seperti Fun Walk HAWANA, Program Riuh@HAWANA dan Jelajah HAWANA Bersama Siswa yang turut melibatkan penyertaan masyarakat.
Majlis Kemuncak HAWANA 2026 yang bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di Pulau Pinang pada 20 Jun, dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana merupakan platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan serta profesionalisme pengamal media di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




