am@hmetro.com.my
Kajang: Lelaki yang disyaki melakukan perbuatan khianat selepas dipercayai menendang sebuah kereta di kaunter bayaran Tol Kajang Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di sini, Ahad lalu akan dituduh di mahkamah, esok.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya sudah selesai menjalankan siasatan berhubung kes itu dan mendapat arahan pertuduhan.
Katanya, suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, jam 9 pagi mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, suspek turut dikenakan tindakan kompaun mengikut Kaedah 8(1) Peraturan Lalulintas Jalan 1959 atas kesalahan tidak mematuhi lorong yang betul.
“Manakala pemandu kereta iaitu pengadu terbabit juga disaman mengikut Kaedah 6(1) Peraturan Lalulintas Jalan 1959 atas kesalahan memotong dan menghalang daripada memotong yang dipercayai menjadi punca kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Beliau berkata, masyarakat diseru supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan jalan raya demi keselamatan bersama.
“Sikap bertanggungjawab ketika menggunakan jalan raya bukan sahaja dapat mengelakkan kemalangan, malah memastikan ketenteraman awam terpelihara.
“Polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang ingkar dan melakukan kesalahan yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.
Kelmarin media melaporkan, Seorang lelaki ditahan, hari ini bagi membantu siasatan berhubung perbuatan khianat selepas dipercayai menendang sebuah kereta di kaunter bayaran Tol Kajang Lebuhraya LEKAS di sini, seperti video tular di media sosial.
Naazron dipetik berkata, lelaki warga tempatan berusia 24 tahun yang juga pekerja swasta itu ditahan di sekitar Kajang dan kejadian dipercayai berlaku pada jam 4 petang, Ahad lalu sebelum video berdurasi 1 minit 26 saat yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial, Isnin lalu.
Terdahulu video memaparkan seorang penunggang motosikal menendang sebuah kereta sambil dilihat memarahi pemandu kereta itu di tol berkenaan tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




