am@hmetro.com.my
Nibong Tebal: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel dengan menyita hampir 24,000 liter bahan api yang dipercayai ingin dijual ke pasaran industri ketika serbuan di sebuah stor berlesen di Simpang Ampat, di sini, petang tadi.
Serbuan kira-kira jam 2 petang itu dibuat berdasarkan maklumat dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata, pihaknya menahan pemandu lori warga tempatan berusia 45 tahun untuk tindakan lanjut.
“Kita mendapati lori tangki itu telah diubahsuai dipercayai untuk tujuan penyelewengan dan menjumpai hampir 24,000 liter diesel serta beberapa peralatan bagi kegiatan berkenaan.
“Berdasarkan siasatan terdapat dua lori untuk menjalankan kegiatan ini. Satu lori bertindak mengutip diesel dari stesen ke stesen minyak kemudian disimpan dalam sebuah lagi lori sehingga ia penuh dan bergerak untuk dijual dipercayai untuk industri.
“Kita menyita diesel, lori, beberapa peralatan yang dianggarkan RM400,000 serta dokumen untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, KPDN akan terus melaksanakan siasatan bagi mengenalpasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diesel diperoleh dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961.
© New Straits Times Press (M) Bhd




