
Meisa Arifa dengan tenang memegang ular berkenaan. Foto Agensi
JAKARTA – Seorang murid sekolah rendah mencuri perhatian ramai selepas tular video menunjukkan dia membawa seekor ular di dalam beg sekolah, sebelum dengan tenang memegang haiwan tersebut tanpa rasa takut.
Kanak-kanak perempuan itu, Meisa Arifa Kartiwa atau lebih dikenali sebagai Caca, berusia lapan tahun dan masih belajar di Tahun 2 sekolah rendah di Kampung Cimaskara, Kecamatan Cibinong, Jawa Barat, Indonesia.
Dalam video yang tular di media sosial, beg sekolahnya pada awalnya disangka berisi makanan, namun rupa-rupanya mengandungi ular sepanjang kira-kira dua meter.

Meisa Arifa mengeluarkan ular yang dibawanya dari beg sekolah ketika waktu rehat. Foto Agensi
Kanak-kanak itu dilihat memegang ular tersebut dan bermain dengannya dengan bantuan seorang rakan.
“Dari sebelum sekolah memang suka main dengan ular. Yang di video itu namanya Zoro ular Raja Tikus. Tapi masih banyak yang lain di rumah,” katanya seperti dipetik Kompas.com baru-baru ini.
Menurut bapanya, Jepi Kartiwa, minat anaknya terhadap reptilia bermula sejak kecil dan semakin berkembang kerana pendedahan awal terhadap aktiviti menyelamat haiwan.

Aksi keberanian murid ini menarik perhatian ramai. Foto Agensi
Katanya, semua ular yang dipelihara telah dijinakkan dan bukan jenis berbisa dan berbahaya, namun beliau tetap menekankan aspek keselamatan.
“Saya larang keras kalau ular berbisa seperti tedung selar. Ini hanya ular yang sudah dijinakkan dan untuk tujuan pembelajaran,” katanya.
Walaupun masih kecil, Caca dikatakan sudah berani menangkap haiwan seperti kalajengking dan tidak takut dengan reptilia yang dipelihara di rumahnya.
Bapanya turut memaklumkan bahawa Caca bercita-cita untuk menjadi bomoh ular apabila dewasa kelak kerana minat mendalam terhadap haiwan tersebut sejak kecil.-Agensi


