Kafe Meloa bermula dari dapur rumah

Kafe Meloa bermula dari dapur rumah

BERMULA sekadar menerima tempahan biskut secara separuh masa, seorang graduan perbankan nekad mengubah haluan hidup demi mengejar minat mendalam dalam dunia kulinari, sekali gus merealisasikan impian dengan membuka Kafe Meloa di Melaka.

Mastura Kamarul Arifin, 33, berkata, perniagaan tersebut tidak dibina dalam tempoh singkat, sebaliknya melalui proses panjang bermula daripada operasi secara kecil-kecilan di rumah.

“Saya mulakan perniagaan di rumah guna nama Sweety Creamy hampir lima tahun lalu. Masa itu saya buat secara sambilan sahaja, sambil bekerja dalam bidang kewangan dan pentadbiran.

“Antara produk terawal yang mendapat sambutan ialah biskut black cocoa sable yang pernah mencatat jualan hampir 100,000 pek, menjadi titik tolak untuk saya serius dalam bidang ini,” kongsinya kepada Bisnes Sinar.

Ibu kepada dua anak itu berkata, minat mendalam terhadap bakeri mendorong beliau mengikuti kelas persendirian bagi mempelajari pelbagai kemahiran termasuk pembuatan biskut, kek, pastri serta hidangan Barat.

Kafe Meloa bermula dari dapur rumah

Mastura menunjukkan biskut yang dihasilkan dan dijual olehnya sebelum memulakan perniagaan kafe.

“Walaupun saya graduan Diploma Perbankan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, jiwa saya lebih cenderung kepada bidang makanan. Saya belajar sendiri dan tambah ilmu melalui kelas bakeri.

“Semuanya saya lakukan satu persatu sambil sentiasa belajar bagi meningkatkan kemahiran untuk bertahan dalam perniagaan makanan ini,” ujarnya.

Bekas Penolong pegawai tadbir Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu berkata, selepas lima tahun beroperasi dari rumah, akhirnya lahirlah Kafe Meloa pada 1 Julai 2025.

Katanya, nama ‘Meloa’ diambil sempena buah melon yang melambangkan rasa manis, selari dengan konsep kafe yang mengetengahkan pelbagai pencuci mulut seperti kek dan pastri.

“Kini, Kafe Meloa menawarkan pelbagai jenis kek seperti victoria, carrot dan hazelnut yang ditukar menu setiap hari, selain memperkenalkan kek bento bersaiz kecil dengan harga sekitar RM35 yang sesuai untuk hidangan dua hingga tiga orang.

“Kami juga menerima tempahan kek perkahwinan, hantaran dan kek khas mengikut permintaan pelanggan,” jelasnya.

Tambahnya, selain pencuci mulut, kafe tersebut turut menyediakan hidangan Barat sebagai menu makanan berat bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan.

Mastura mengakui lima bulan pertama operasi agak mencabar kerana lokasi kafe yang terletak di kawasan kurang tumpuan di Taman Angsa Mas, Durian Tunggal.

“Ramai tidak sedar kewujudan kafe ini kerana tidak banyak kedai beroperasi di kawasan tersebut, jadi lokasinya kurang menjadi tumpuan orang ramai.

“Bagi tujuan hebahan, saya melakukan promosi di media sosial, selain turut mendapatkan khidmat paid review serta menyertai jualan luar sebulan sekali,” katanya.

Modal RM30,000

Beliau berkata, memang ada tekanan, tetapi itu tidak melunturkan semangatnya untuk mengembangkan idea dan produk serta terus mengkomersialkan perniagaannya.

Ujar beliau, Kafe Meloa dibuka dengan modal bawah RM30,000 merangkumi kos pengubahsuaian dan pembelian peralatan seperti ketuhar, penyejuk dan mesin kopi.

Kafe Meloa terletak di pusat komersil Taman Angsa Mas, Durian Tunggal beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11.30 malam.

Kafe Meloa terletak di pusat komersil Taman Angsa Mas, Durian Tunggal beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11.30 malam.

“Kebanyakan peralatan kami beli terpakai untuk menjimatkan kos. Modal datang daripada simpanan sendiri dan pinjaman,” tambahnya.

Dalam pada itu, Mastura berkata, keluarga menjadi sumber kekuatan utama dalam perjalanan perniagaannya.

Beliau berharap dapat mengembangkan jenama Kafe Meloa secara berperingkat dan terus menarik lebih ramai pelanggan.

“Buat masa ini, saya mahu mengukuhkan operasi dahulu. Jika ada peluang pada masa depan, mungkin kami akan mengembangkan lagi perniagaan ke tahap lebih besar,” katanya.

Kafe Meloa beroperasi setiap hari dari jam 11 pagi hingga 11.30 malam.

Scroll to Top