Bila kelab ada isu kewangan, semua pihak nak salahkan FAM, MFL – TMJ

Bila kelab ada isu kewangan, semua pihak nak salahkan FAM, MFL – TMJ

PEMILIK Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Ismail secara terbuka mengakui tahap bola sepak di Malaysia pada ketika ini sememangnya berada dalam keadaan yang tidak memuaskan.

Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor menegaskan, masalah yang melanda industri bola sepak tanah air bukanlah perkara baharu, malah baginda sudah menyuarakannya sejak tahun 2018 lagi.

“Dalam bola sepak tanah air, daripada dulu, saya cakap daripada 2018. Pertama, kita tidak ada pembangunan dan pertandingan akar umbi yang kompetitif.

“Yang kedua, berkenaan dengan keperluan pengadil profesional. Dan yang ketiga, tentu saja isu penaja,” titah baginda dalam sesi meja bulat bersama kelab-kelab Liga Malaysia yang dianjurkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Rabu.

Mengulas lanjut mengenai isu keempat, Tunku Ismail menyentuh mengenai aspek disiplin pengurusan kewangan kelab-kelab yang dilihat sering berbelanja di luar kemampuan sehingga mencetuskan masalah tunggakan gaji.

Baginda menyifatkan tindakan segelintir pengurusan kelab yang menyalahkan badan induk seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) apabila berlaku krisis kewangan sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Kalau ada RM12, kita patut belanja kurang daripada itu. Bukan kalau ada RM12, kita belanja RM15.

“Tetapi apabila ada isu kewangan, semua pihak mula melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab iaitu menyalahkan FAM dan MFL sedangkan yang menguruskan kewangan adalah kelab masing-masing. Itulah masalah utama,” tegas baginda.

Selain isu pengurusan dan teknikal, Tunku Ismail turut membangkitkan masalah fasiliti dan infrastruktur sukan yang daif di seluruh negara.

Scroll to Top