Runtuhkan akhlak! JAWI kesal, bantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026

Runtuhkan akhlak! JAWI kesal, bantah penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membantah penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di ibu negara kerana dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak serta keruntuhan nilai masyarakat.

Pengarahnya, Hanifuddin Roslan, meluahkan kekesalan terhadap perancangan acara hiburan berkenaan dan menggesa pihak penganjur supaya mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.

“JAWI menyatakan kekesalan terhadap penganjuran program itu dan berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya dan cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bantahan itu turut disokong oleh pendirian Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Bayan Linnas Siri Ke-351.

“Penerbitan yang bertajuk ‘Rain Rave Water Music Festival 2026: Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan’ itu dengan jelas menyatakan bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak,” katanya.

Dalam masa sama, JAWI memaklumkan akan mempergiatkan penganjuran program keagamaan di seluruh Wilayah Persekutuan sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat.

“Pelaksanaan program seperti kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen di media sosial dan khutbah Jumaat akan diteruskan bagi memberi kesedaran berkaitan kepentingan umat Islam mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri daripada terbabit dalam program berunsur maksiat,” ujarnya.

Tambah beliau, satu majlis kerohanian berskala besar turut diadakan hari ini melibatkan bacaan Yasin dan solat hajat secara serentak di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selepas solat Maghrib.

Artikel lain: “Penyertaan sukarela, tak suka jangan pergi…” – Tiong bidas pihak bantah Festival Muzik Air Rain Rave

Majlis berkenaan diadakan khusus bagi mendoakan kesejahteraan serta keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, JAWI turut memohon kerjasama semua pihak agar sebarang penganjuran hiburan tidak menyelitkan unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama serta moral masyarakat, sekali gus mengelakkan kemudaratan yang lebih besar pada masa hadapan.

Scroll to Top