Polis sahkn lelaki OKU ditemukan maut dalam kebakaran

Polis sahkn lelaki OKU ditemukan maut dalam kebakaran

am@hmetro.com.my

Gombak: Polis mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian kebakaran empat rumah teres di Taman Ehsan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.26 pagi sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) diarahkan ke lokasi.

Menurutnya, kebakaran itu membabitkan empat rumah teres setingkat.

Katanya, operasi pemadaman dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kekuatan 40 anggota dan kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 4.29 pagi.

“Pihak bomba menemui mayat seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang juga OKU hasil pemeriksaan lanjut dalam salah sebuah rumah yang terjejas.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

“Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, P/SI Basir Ahmad di talian 017-2993747 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak (03-62762222),” katanya.

Terdahulu media melaporkan, lelaki OKU ditemukan rentung dalam kebakaran lima buah rumah di Jalan E5/11, Taman Ehsan, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar dipetik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.31 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada 2.50 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top