London: Bekas kapten Manchester United, Ashley Young bakal bersara penghujung musim ini pada usia 40 tahun selepas bergelut dengan masalah pinggul dan tidak beraksi untuk Ipswich Town sejak Januari.
Dalam kenyataan penuh emosi, Young mengesahkan dia akan menamatkan kerjaya hebatnya selama 23 tahun selepas musim ‘Tractor Boys’ berakhir.
“Saya amat bangga dan bertuah dapat mencapai segala yang saya capai sepanjang karier saya. Tidak selalu kita duduk dan memikirkan perkara ini ketika masih bermain, tetapi saya telah hidupkan impian sepanjang 23 tahun ini.
“Kini tiba masanya untuk saya membuat refleksi terhadap apa yang dicapai dan dalam beberapa minggu serta bulan akan datang, saya akan tentukan langkah seterusnya.
“Namun itu kemudian. Fokus penuh saya sekarang adalah perlawanan Sabtu dan membantu kelab mencapai sasaran kami, iaitu kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL).”
Ipswich kini berada di tangga kedua Liga Kejuaraan dan akan kembali ke EPL sekiranya sekurang-kurangnya menyamai keputusan Millwall dan Middlesbrough pada Sabtu, ketika mereka menentang Queens Park Rangers di Portman Road.
Pengurus pasukan, Kieran McKenna berkata: “Karier Ashley memang luar biasa dan satu penghormatan untuk bekerja dengannya, pertama di Manchester United dan kemudian di Ipswich musim ini.
“Profesionalisme, daya saing dan kualiti ditunjukkannya setiap hari memberi impak besar kepada pasukan dan saya tahu dia mahu menamatkan kariernya dengan membantu kami mencapai sasaran.”
Young memulakan karier bersama Watford dan membuat penampilan sulung senior pada 2003.
Sebagai pemain sayap berbisa, dia berpindah ke Aston Villa pada musim panas 2007, sebelum menarik minat Alex Ferguson.
Manchester United membayar £17 juta untuk mendapatkannya pada 2011.
Dalam hanya perlawanan ketiganya, Young menjaringkan dua gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam kemenangan besar 8-2 ke atas Arsenal di Old Trafford.
Dia kemudian menjadi sebahagian daripada skuad juara EPL musim 2012-13, kali terakhir United menjulang trofi tersebut.
Secara keseluruhan, dia membuat 261 penampilan bersama Red Devils, berubah daripada pemain sayap pantas kepada bek sisi yang kental apabila usia meningkat.
Pada musim panas 2019, Young dilantik sebagai kapten oleh Ole Gunnar Solskjaer, menggantikan Antonio Valencia.
Dia meninggalkan United pada Januari 2020 untuk menyertai Inter Milan dan membantu pasukan kendalian Antonio Conte menjuarai Serie A musim 2020-21.
Selepas itu, Young kembali ke EPL bersama Aston Villa selama dua tahun, sebelum menyertai Everton. Musim panas lalu, dia menyertai semula McKenna di Ipswich, sekali gus bermain bersama anaknya, Tyler di Portman Road.
© New Straits Times Press (M) Bhd




