am@hmetro.com.my
Melaka : Sebuah projek perumahan diarahkan menghentikan kerja serta-merta selepas kolam takungan di tapak berkenaan pecah hingga menyebabkan lebih 50 penduduk Kampung Gapam terjejas akibat banjir lumpur, petang semalam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Sapiah Haron berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun RM50,000 susulan kegagalan dan kecuaian pihak terbabit sehingga menyebabkan kolam berkenaan pecah serta 10 rumah di kampung itu dilanda banjir lumpur.
Menurutnya, arahan pemberhentian sementara kerja pembinaan dikeluarkan bagi membolehkan pemaju mengambil tindakan segera membaiki kolam takungan selain membersihkan kawasan kampung yang terjejas.
Katanya, tindakan itu diambil mengikut Akta Jalan dan Parit Bangunan 1974 yang membabitkan isu sistem perparitan serta takungan lumpur.
“Selepas kejadian banjir, kita arahkan projek dihentikan serta-merta dan pemaju perlu membaiki kolam takungan lumpur serta membersihkan rumah penduduk yang terjejas.
“Pemaju turut diarahkan membayar pampasan kepada penduduk terbabit membabitkan kira-kira 10 hingga 12 rumah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penutup Kempen Kebersihan dan Baik Pulih Rumah sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Keroh di Sungai Putat, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee.
Sapiah berkata pihaknya memberi tempoh seminggu kepada pemaju untuk menyelesaikan semua kerja pembaikan termasuk memastikan sistem takungan berada dalam keadaan baik sebelum dibenarkan menyambung semula projek.
Menurutnya, pihak berkuasa sebelum ini sudah mengingatkan pemaju supaya memastikan kolam takungan berada dalam keadaan selamat bagi mengelakkan limpahan ketika hujan.
Katanya, sekiranya dalam tempoh itu mereka gagal mematuhi arahan, tindakan menghentikan segala kerja akan dilanjutkan.
“Jika kolam tidak diselenggara dengan baik, ia boleh pecah dan menyebabkan lumpur melimpah ke jalan serta memasuki rumah penduduk.
“Seperti yang berlaku semalam, keadaan lumpur yang tebal menyukarkan kerja pembersihan, namun usaha berterusan dilakukan bagi memulihkan keadaan kampung yang terjejas,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




