Prabowo mahu ‘hidup 1,000 tahun lagi’

Prabowo mahu ‘hidup 1,000 tahun lagi’

JAKARTA – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan hasrat secara berseloroh untuk hidup sehingga 1,000 tahun lagi bagi menyaksikan sendiri kejayaan dan kemakmuran negara itu pada masa depan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah 13 projek hilirisasi nasional di Cilacap, Jawa Tengah pada Rabu.

Menurut Prabowo, ungkapan itu diinspirasikan daripada lirik lagu ‘Pertemuan’ yang pernah dipopularkan oleh Deddy Dores dan Yuni Shara.

“Saya suka bait ‘ku ingin hidup seribu tahun lagi’. Saya ingin melihat Indonesia menjadi negara maju, rakyatnya makmur dan dihormati dunia,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Gerindra menegaskan keyakinannya bahawa Indonesia memiliki masa depan cerah, khususnya berdasarkan semangat generasi muda.

Sebelum menghadiri majlis itu, Prabowo sempat melawat Sekolah Menengah Atas Negeri 1 Cilacap dan menyifatkan pelajar di sekolah tersebut sebagai bersemangat serta optimistik.

“Saya lihat anak-anak muda sangat cerah dan bersemangat. Ini petanda masa depan Indonesia sangat baik jika kita kekal bersatu,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau menyeru rakyat agar tidak berpecah-belah berdasarkan perbezaan kaum, etnik atau latar belakang, sebaliknya menjadikan kepelbagaian sebagai kekuatan negara.

“Perbezaan adalah kekayaan. Jangan jadikan ia sebagai jurang pemisah,” katanya.

Tambah beliau, Indonesia mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai negara berpengaruh di peringkat global dengan syarat rakyatnya terus bersatu dan bergerak ke arah matlamat yang sama. – Agensi

Scroll to Top